Berakas, Isnin, 28 Syaaban 1447 bersamaan 16 Februari 2026–Dalam usaha meringankan beban dan memberikan kehidupan yang lebih selesa khusus bagi golongan asnaf di Negara Brunei Darussalam, Majlis Ugama Islam Brunei dan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menyerahkan rumah bantuan kepada lima (5) orang asnaf berikut:
Projek Bantuan Perumahan bagi Golongan Daif, Fakir dan Miskin (Pelaksanaan Projek ini dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan)
| Bil | Penerima Rumah Bantuan | Alamat |
| 1 | Awang Hasnan bin Kalong | No 15, Simpang 287, Jalan Serasa, Kampung Serasa, Mukim Serasa, BT1728 |
| 2 | Awang Norzaliani bin Latif | No 42, Simpang 930, Jalan Tanah Jambu 1, Kampung Tanah Jambu, Mukim Mentiri, BU1129 |
| 3 | Dayang Radiah binti Haji Othman | No 13. Jalan Bunga Seri Gading, Kampung Jaya Setia, Berakas A |
| 4 | Dayang Ewanawati binti Abdullah | No 36, Simpang 35, Jalan 3A, Kampung Mulaut, Mukim Sengkurong, BG2121 |
Projek kerjasama dan bersepadu dengan Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama
| 5 | Dayang Siti Aminah binti Abdullah | No 6, Simpang 612-95, Kg Sungai Hanching |
Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Sijil Kesiapan Rumah dan Plak Rumah disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei kepada lima (5) orang penerima yang diadakan di Ruang Legar, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi.
Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam bersama Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama seterusnya mengadakan lawatan secara serentak ke lima (5) buah rumah tersebut yang masing-masing terletak di Kampung Mulaut, Kampung Tanah Jambu, Kampung Jaya Setia, Kampung Serasa dan Kampung Sungai Hanching.
Kos perbelanjaan bagi membina lima (5) buah rumah tersebut adalah sebanyak $451,962.90 [Empat Ratus Lima Puluh Satu Ribu Sembilan Ratus Enam Puluh Dua dan Sembilan Puluh Sen] diambil daripada Kumpulan Wang Zakat Majlis Ugama Islam.
Majlis penyerahan rumah bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan tersebut bertujuan bagi mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan penduduk di negara ini khususnya di kalangan asnaf fakir, miskin dan Muallaf.
Penyerahan rumah bantuan ini mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan kebajikan golongan asnaf fakir, miskin dan Muallaf sentiasa terpelihara. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat, bahkan menjadi simbol sokongan berterusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup mereka agar dapat mejalani kehidupan yang lebih stabil.
Melalui usaha ini, diharapkan para penerima bukan sahaja memperoleh manfaat dari segi fizikal malah turut beroleh kekuatan semangat untuk membina kehidupan yang lebih baik, berdikari dan terus istiqamah dalam menghayati ajaran Islam.
Foto:BPAAM