Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROJEK FATHUL BARAKAH 7.0 BANTU KEBAJIKAN MUALLAF  DAERAH BRUNEI DAN MUARA

16 February 2026

PROJEK FATHUL BARAKAH 7.0 BANTU KEBAJIKAN MUALLAF DAERAH BRUNEI DAN MUARA

Brunei dan Muara, Isnin, 28 Syaaban 1447 bersamaan 16 Februari 2026–Kebajikan Muallaf di negara ini terus diberi perhatian oleh pelbagai pihak berkepentingan terutamanya Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Sehubungan itu, dalam usaha meneruskan tanggungjawab menjaga kebajikan para Muallaf di negara ini, Pusat Da'wah Islamiah melalui Projek Fathul Barakah 7.0 pagi tadi meneruskan lagi penyerahan bantuan berupa keperluan harian kepada sepuluh (10) buah keluarga Muallaf di Kampung Bengkurong, Kampung Sinarubai, Kampung Masin, Kampung Mulaut dan Kampung Tanjung Nangka.

Hadir selaku Ketua Rombongan dan seterusnya menyempurnakan penyerahan Projek Fathul Barakah 7.0 ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.

Turut hadir menyertai rombongan berkenaan, Yang Mulia Awang Haji Talib bin Haji Bakar, Ketua Kampung Bengkurong, Yang Mulia Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin, Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf, Pusat Da'wah Islamiah dan Yang Mulia Awang Haji Mohd Hazwan bin Abdullah, Yang Di-Pertua Persatuan Nurul Islam.

Projek Fathul Barakah 7.0 merupakah usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Da'wah Islamiah dengan kerjasama Persatuan Saudara-Saudara Baru, Negara Brunei Darussalam.  Projek ini bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai dalam sama-sama menyumbang infaq jariah berupa keperluan asasi kepada Asnaf Muallaf yang memerlukan sebelum tibanya bulan Ramadan 1447 Hijrah. Melalui bantuan ini, para Muallaf diharapkan dapat melaksanakan ibadah puasa dengan lebih selesa di samping menjalani kehidupan seharian mereka.

Selain itu, projek ini juga merupakan tanda keprihatinan Pusat Da'wah Islamiah terhadap Muallaf yang memerlukan bantuan. Pada masa yang sama, ia menjadi salah satu metod da'wah kepada mereka yang bukan beragama Islam, sekali gus memperlihatkan keprihatinan berterusan Pusat Da'wah Islamiah terhadap kebajikan golongan Muallaf.

 

Foto: PDI​