Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS SILATURRAHIM DAN  PELANCARAN PERKHIDMATAN JURU BAHASA ISYARAT BERTAULIAH

14 February 2026

MAJLIS SILATURRAHIM DAN PELANCARAN PERKHIDMATAN JURU BAHASA ISYARAT BERTAULIAH

Bandar Seri Begawan, Sabtu, 26 Syaaban 1447 bersamaan 14 Februari 2026–Pengarah Urusan Haji, Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad telah mengingatkan kepada pengurusan Syarikat Qobul agar sentiasa mematuhi syarat-syarat bagi mengendalikan perkhidmatan pakej umrah menggunakan visa pelancong Arab Saudi yang telah ditetapkan.

Beliau menegaskan bahawa Jabatan Urusan Haji sentiasa komited dalam memastikan setiap syarikat pengendali perkhidmatan pakej umrah dan haji yang dibenarkan mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Urusan Haji seperti penyediaan insurans yang komprehensif kepada setiap jemaah bermula dari meninggalkan hingga kembali ke Negara Brunei Darussalam, agar kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan jemaah sentiasa terpelihara.

Penekanan tersebut telah dinyatakan semasa Majlis Pelancaran Agensi Pelancongan Umrah Pertama dengan Perkhidmatan Jurubahasa Bahasa Isyarat Bertauliah yang diadakan di Dewan Sejahtera 2, Sumbangsih Mulia, Beribi.

Perkhidmatan yang diperkenalkan oleh Syarikat Al-Qobul Travel dan Tours dihasratkan dapat memperluas akses perkhidmatan Umrah secara lebih inklusif, khususnya kepada golongan orang kurang pendengaran.  Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad, Pengarah Urusan Haji selaku Tetamu Kehormat majls.

Pengendalian majlis tersebut bertujuan untuk membarigakan perkhidmatan Umrah dengan sokongan khidmat Jurubahasa Bahasa Isyarat Bertauliah oleh Syarikat Al-Qobul Travel dan Tours yang merupakan syarikat pengendali perkhidmatan pakej Umrah pertama menyediakan perkhidmatan seumpamanya di negara ini.  Inisiatif ini merupakan usaha syarikat tersebut dalam menyediakan perkhidmatan Umrah yang profesional, prihatin dan inklusif, bermula dari jemaah bertolak sehingga pulang ke tanah air.

Dalam ucapan beliau, Pengarah Urusan Haji menggesa semua syarikat pengendali supaya menyatakan secara jelas, terperinci dan tidak mengelirukan setiap perkhidmatan yang terkandung dalam pakej Umrah yang ditawarkan, termasuk jenis penginapan, jarak hotel dari Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, kaedah pengangkutan, makan minum, jadual penerbangan serta sebarang caj tambahan jika ada. Sebarang perubahan terhadap jadual perjalanan, penginapan atau kos hendaklah dimaklumkan lebih awal kepada jemaah secara bertulis dan dipersetujui bersama, bagi mengelakkan salah faham serta memastikan hak dan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama seterusnya mengalu-alukan serta menyokong sebarang inisiatif yang dapat mempertingkatkan dan memajukan lagi mutu perkhidmatan Umrah di negara ini.

 

Foto: JUH​