Berakas, Selasa, 29 Syaaban 1447 bersamaan 17 Februari 2026–Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 01 Ramadan 1447 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam akan jatuh pada hari Khamis, 01 Ramadan 1447 Hijrah bersamaan 19 Februari 2026 Masihi.
Hasil Merukyah Awal Bulan Ramadan 1447 Hijrah pada petang tadi telah diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri. Oleh yang demikian, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Awal Ramadan bagi tahun 1447 Hijrah pada hari Khamis, 01 Ramadan 1447 Hijrah bersamaan 19 Februari 2026 Masihi.
Permakluman tersebut adalah daripada persidangan mengenai hasil merukyah anak bulan Ramadan 1447 Hijrah pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Persidangan yang diadakan di Bilik As'syura, Tingkat 1, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan; serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Majlis Ugama Islam Brunei.
Pada tahun ini, lima (5) buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Ramadan 1447 Hijrah, iaitu Daerah Brunei dan Muara di Bangunan Mutiara Exchange, Lebuhraya Tungku; Taman Rekreasi Tanjung Batu, Kampung Sabun, Pekan Muara; dan Bukit Agok, Jerudong. Manakala bagi Daerah Tutong bertempat di Bangunan Hilal Bukit Ambog; dan bagi Daerah Belait ialah di Bangunan Hilal Bukit Lumut.
Sehubungan dengan itu, umat Islam di Negara Brunei Darussalam akan menunaikan Sembahyang Sunat Tarawih dan Sembahyang Sunat Witir serta bertadarus Al-Quran di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bermula pada esuk malam, hari Rabu, 01 Ramadan 1447 bersamaan 18 Februari 2026, selepas menunaikan Sembahyang Fardhu Isya'.
Terdahulu, Acara Keagamaan bagi Menunggu Hasil Merukyah Awal Bulan Ramadan 1447 Hijrah diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara Keagamaan bagi Menunggu Hasil Rukyah Awal Bulan Ramadan 1447 Hijrah lewat petang tadi dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Yang Mulia Awang Mohammad Arsyad Shaliheen bin Haji Mohamad Aslenan, Johan Musabaqah Tilawah Al-Qur'an Berlagu Antara Sekolah-Sekolah Ugama Peringkat Akhir Senegara Tahun 2025.
Acara diteruskan dengan Tazkirah Ramadan disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seterusnya, bacaan Tahlil dan Doa Arwah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Ahmad Fathurrahman Nur Firdaus bin Pengiran Haji Hassanuddin, Imam Tingkat I, Masjid Kampung Sungai Hanching dan kemudiannya mengimamkan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Manakala Azan Fardhu Maghrib dikumandangkan oleh Yang Mulia Awang Muhd Fakhri bin Haji Awang Damit, Bilal Tingkat II, Masjid Kampung Beribi.
Foto: PDI