Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

LARANGAN MENAWARKAN DAN MEMPROMOSIKAN BUFFET RAMADHAN ATAU ISTILAH SEUMPAMANYA BAGI PREMIS YANG BELUM MENDAPAT SIJIL HALAL

18 February 2026

LARANGAN MENAWARKAN DAN MEMPROMOSIKAN BUFFET RAMADHAN ATAU ISTILAH SEUMPAMANYA BAGI PREMIS YANG BELUM MENDAPAT SIJIL HALAL

Bandar Seri Begawan, Rabu, 30 Syaaban 1447 bersamaan 18 Februari 2026–Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan, keampunan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Di bulan yang mulia ini, umat Islam bukan sahaja digalakkan untuk melipatgandakan amal ibadah, malah aktiviti perniagaan, khususnya dalam sektor makanan dan minuman turut meningkat bagi memenuhi keperluan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin memaklumkan kepada semua pengusaha premis makanan dan minuman di Negara Brunei Darussalam bahawa mana-mana premis yang belum mendapat Sijil Halal adalah tidak dibenarkan untuk menawarkan, mempromosikan, mempamerkan atau menggunakan apa-apa ungkapan atau istilah yang merujuk kepada makanan atau minuman yang disediakan sebagai Halal, seperti penggunaan istilah seperti Buffet Ramadhan, Sungkai Buffet, Iftar, Set Ramadan, Buffet Sahur, atau apa-apa istilah lain yang secara langsung atau tidak langsung membawa maksud hidangan untuk berbuka puasa atau bersahur.

Bagi menjamin kemaslahatan umat Islam di negara ini serta memelihara integriti sistem Pensijilan Halal negara, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal akan terus melaksanakan aktiviti pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis yang menawarkan dan mempromosikan hidangan bertemakan bulan Ramadan tanpa memiliki Sijil Halal Majlis Ugama Islam Brunei yang sah.

Mana-mana premis makanan dan minuman yang didapati melanggar peruntukan Bab 12 (3) (b) Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 boleh dikenakan tindakan undang-undang, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi $8,000, hukuman penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali. Larangan ini bertujuan memastikan bahawa tiada sebarang representasi, dakwaan atau gambaran sebagai premis Halal dibuat oleh mana-mana pihak, melainkan setelah premis tersebut diaudit, diperiksa dan diluluskan secara rasmi sebagai Halal oleh Majlis Ugama Islam Brunei, selaras dengan kehendak undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam masa yang sama, premis makanan dan minuman yang belum membuat permohonan Sijil Halal atau Permit adalah diingatkan supaya menghadapkan permohonan dengan segera sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Bab 4 (1) dan Bab 10 (1) (a) Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan 2017). Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan hukuman di bawah Bab 4 (5) dan Bab 10 (6) Perintah yang sama, iaitu denda tidak melebihi $8,000, hukuman penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah juga boleh dikenakan denda tambahan tidak melebihi $100 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan perkara ini bolehlah menghubungi Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui talian hotline 7103111 atau  hadir ke pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di Bandar Seri Begawan atau di daerah masing-masing.