Kiarong, Sabtu, 03 Ramadan 1447 bersamaan 21 Februari 2026-Bagi memastikan kelancaran Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardhu Zohor Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 yang akan diadakan pada 05 Ramadan 1447 bersamaan 23 Februari 2026, satu raptai penuh telah diadakan tengah hari tadi bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Hadir menyaksikan raptai tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; serta Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Turut hadir, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama serta ahli-ahli jawatankuasa yang lain.
Selain Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, beberapa buah masjid di daerah-daerah lain juga sebagai tumpuan utama majlis iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Hassanal Bolkiah, Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al Hajjah Maryam, Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara; dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan.
Bagi Daerah Belait, tumpuan majlis di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Masjid Pekan Seria. Bagi Daerah Tutong, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; manakala Daerah Temburong di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan hadir ke masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bagi sama-sama menunaikan Sembahyang Fardhu Zohor Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke 42, Tahun 2026 pada hari Isnin, 05 Ramadan 1447 bersamaan 23 Februari 2026, mulai pukul 11.30 pagi.
Foto: JHEM