Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROJEK FATHUL BARAKAH 7.0  TERUS MEMAINKAN PERANAN MEMBANTU MUALLAF YANG MEMERLUKAN

21 February 2026

PROJEK FATHUL BARAKAH 7.0 TERUS MEMAINKAN PERANAN MEMBANTU MUALLAF YANG MEMERLUKAN

Brunei dan Muara, Sabtu, 03 Ramadan 1447 bersamaan 21 Februari 2026–Bagi menampung keperluan harian para asnaf Muallaf serta sebagai salah satu pendekatan da'wah bil mal yang berkesan di Negara Brunei Darussalam, Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf), Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Persatuan Nurul Islam meneruskan penyerahan infak berupa barangan makanan asasi di bawah Projek Fathul Barakah 7.0.

Majlis penyerahan tersebut dilaksanakan melalui kunjungan ke kediaman lima (5) keluarga Muallaf yang menetap di Kampung Salambigar, Kampung Perpindahan Mentiri dan Kampung Sungai Buloh.

Hadir mengetuai rombongan serta menyempurnakan penyerahan infak berkenaan ialah Yang Mulia Awang Isham bin Ismail, Pemangku Penguasa Da'wah dan Tabligh merangkap Ketua Bahagian Penyebaran Da'wah. Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Hajah Ida Fariani binti Pengiran Haji Kamaluddin, Ketua Bahagian Pembangunan Muallaf; Yang Mulia Awang Alizan bin Haji Ramle, Ketua Bahagian Pentadbiran; serta Yang Mulia Awang Haji Hazwan bin Abdullah, Yang Di-Pertua Persatuan Nurul Islam.

Projek Fathul Barakah 7.0 merupakan inisiatif Pusat Da'wah Islamiah dalam memeduli dan memantau perkembangan kehidupan dan kebajikan para Muallaf agar mereka dapat melaksanakan ibadah puasa dengan lebih sempurna, di samping meningkatkan penghayatan terhadap ajaran agama Islam, khususnya bagi para Muallaf di Daerah Brunei dan Muara.

Projek ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan ukhuwah antara persatuan-persatuan Muallaf di seluruh negara dengan Pusat Da'wah Islamiah, selain untuk memperkasa usaha kebajikan ke arah kesejahteraan para Muallaf di Negara Brunei Darussalam.​