Kuala Belait, Isnin, 05 Ramadan 1447 bersamaan 23 Februari 2026–Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardhu Zohor Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-42, Tahun 2026 diadakan serentak di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan beberapa buah masjid sebagai tumpuan mengikut daerah-daerah.
Bagi Daerah Belait, salah sebuah masjid tumpuan ialah Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait. Hadir selaku Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara; Pemangku Pegawai Daerah Belait; para penghulu dan ketua kampung; pegawai dan kakitangan dari beberapa buah kementerian serta para jemaah masjid dan penduduk kampung di sekitarnya.
Acara dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Zohor berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Awang Haji Noor Azhar bin Haji Harith, Imam Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait. Sejurus selepas Sembahyang Sunat Ba'diah, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat juga diimamkan oleh Yang Mulia Awang Haji Noor Azhar bin Haji Harith, Imam Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Acara diteruskan dengan membaca Surah Yasin dipimpin oleh Yang Mulia Awang Afiq Hariri bin Haji Mat Daud, Imam Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Manakala Doa Kesyukuran dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Semoga Negara Brunei Darussalam, raja, rakyat dan penduduknya akan terus dikurniakan keberkatan dan sentiasa terpelihara dan diberkati oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala di bawah kepimpinan adil laila bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, turun-temurun di atas takhta singgahsana.