Kampung Batong, Rabu, 07 Ramadan 1447 bersamaan 25 Februari 2026–Bulan Ramadan begitu bermakna dalam kehidupan setiap umat Islam kerana di bulan Ramadan yang penuh berkat ini Allah Subhanahu Wa Ta'ala menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada setiap amalan yang dilakukan.
Oleh itu, ramai pihak yang berlumba-lumba meningkatkan amalan bagi meraih rahmat, keampunan dan pahala daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, tidak kira dari pihak individu, keluarga mahupun jabatan-jabatan atau syarikat swasta. Antara aktiviti yang sering menyemarakkan bulan Ramadan ialah bertadarus Al-Quran.
Sehubungan dengan itu, Majlis Tadarus Al-Quran bagi Pegawai dan Kakitangan Wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama sempena Bulan Ramadan bagi Tahun 1447H/2026M diadakan pagi tadi di Masjid Jefri Bolkiah, Kampung Batong, Daerah Brunei dan Muara.
Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee, Isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama yang juga memimpin bacaan Surah Al-Fatihah bagi memulakan majlis.
Diikuti acara tadarus Al-Quran diketuai oleh Yang Mulia Dayang Hajah Rohani binti Haji Khamis, Pegawai di Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Julianawati binti Haji Hamdan, juga Pegawai di Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Manakala Doa Tahlil pula di bacakan oleh Yang Mulia Dayang Nur Syafiqah binti Nasruddin, daripada Bahagian Pendakwa Syarie, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Bagi memberkati Majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Datin Dr. Hajah Rohanita binti Haji Yaakub, Pegawai Pelajaran Ugama Kanan, Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Aktiviti keagamaan tahunan Kementerian ini adalah merupakan salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid-masjid di negara ini sekaligus dapat meningkatkan lagi amal ibadat dalam merebut ganjaran yang besar di bulan Ramadan melalui amalan tadarus Al-Quran. Di samping itu, dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan pegawai dan kakitangan wanita di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.








Foto: BPAAM