Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

ROMBONGAN BERTADARUS SEMPENA BULAN RAMADAN KE MASJID-MASJID DAERAH BELAIT TAHUN 1447H / 2026M

25 February 2026

ROMBONGAN BERTADARUS SEMPENA BULAN RAMADAN KE MASJID-MASJID DAERAH BELAIT TAHUN 1447H / 2026M

Kampung Sungai Mau, Rabu, 07 Ramadan 1447 bersamaan 25 Februari 2026–Dalam usaha memakmurkan masjid di samping meningkatkan amal ibadat sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan bersama jemaah masjid dan penduduk kampung sekitarnya, rombongan bertadarus jabatan-jabatan kerajaan Daerah Belait pada petang tadi berkunjung ke Masjid Al-Mashor, Kampong Sungai Mau.

Rombongan berkenaan diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, Pemangku Pegawai Daerah Belait.  Majlis Tadarus Al-Quran ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir ialah Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman, Ahli Majlis Mesyuarat Negara merangkap Penghulu Mukim Bukit Sawat; Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ahli Majlis Mesyuarat Negara merangkap Ketua Kampung Bukit Sawat; serta Yang Mulia Awang Mohamad Aliyani bin Ismail, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Abd Malik Syafi'ie bin Pengiran Haji Mohd Abd Aziz, imam Masjid Al-Mashor, Kampong Sungai Mau dan diteruskan dengan tadarus Al-Quran.

Setelah masuk waktu Sembahyang Fardhu Maghrib, dan selesai bersungkai, para jemputan, ahli jawatankuasa takmir serta jemaah masjid seterusnya menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Pengiran Mohd Abd Malik Syafi'ie bin Pengiran Haji Mohd Abd Aziz.

 

Foto: PHUD Belait