Belait, Khamis, 08 Ramadan 1447 bersamaan 26 Februari 2026–Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan, menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda bagi setiap amalan kebajikan yang dilaksanakan, di samping menawarkan keampunan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Sepanjang bulan yang mulia ini, peluang untuk meraih rahmat dan maghfirah-Nya terbuka seluas-luasnya kepada seluruh umat Islam.
Dalam menghayati keberkatan Ramadan, rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan pelaksanaan Majlis Tadarus Al-Quran dengan mengunjungi Masjid Kampung Sungai Teraban, Daerah Belait, lewat petang tadi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji MohammadTashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis. Diikuti dengan sesi Tadabbur Al-Quran yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mazne bin Haji Othman, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei.
Seterusnya, bacaan tadarus Al-Quran beramai-ramai, diikuti bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Nur Islam bin Mohd Suria @ Muhammad Abdul Razzaq, Imam Masjid Kampung Sungai Teraban.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang juga dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Sungai Teraban.
Rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan meneruskan lagi Majlis Bertadarus Al-Quran ke Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit pada hari Sabtu, 10 Ramadan 1447 bersamaan 28 Februari 2026, bermula pukul 2.30 petang.






Foto: JHEM