Bebuloh, Khamis, 08 Ramadan 1447 bersamaan 26 Februari 2026–Bersempena bulan Ramadan yang mubarak ini, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama terus mempergiatkan usaha dakwah kepada para Muallaf di Daerah Brunei dan Muara. Sehubungan dengan itu, pada hari ini, rombongan Pusat Da'wah Islamiah yang terdiri daripada warga Bahagian Kajian dan Penerbitan serta Urus Setia Penerbitan Tafsir Mushaf Brunei Darussalam telah mengadakan kunjungan bagi melaksanakan Majlis Tadarus Al-Quran di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Daerah Brunei dan Muara.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti tadarus Al-Quran oleh Imam Rumah Kegiatan Ugama berkenaan dan disusuli dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Seterusnya, penyerahan buku terbitan Pusat Da'wah Islamiah untuk kegunaan Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh yang disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah selaku Ketua Rombongan. Majlis diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isya' serta Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.
Kunjungan dan tadarus bersama Muallaf ini menggalakkan mereka untuk sama-sama mengimarahkan masjid, surau, balai ibadat, pos da'wah dan rumah kegiatan ugama di kawasan masing-masing. Ia juga memupuk penghayatan saudara-saudara baru terhadap kelebihan bulan Ramadan melalui penglibatan dalam aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran, berzikir dan mendengar tazkirah. Selain itu, aktiviti seumpama ini turut mengeratkan hubungan silaturrahim antara warga Pusat Da'wah Islamiah dan para Muallaf.