Berakas, Jumaat, 09 Ramadan 1447 bersamaan 27 Februari 2026–Sebagai usaha berterusan memperkasa para Muallaf dari segi mutu ibadah sembahyang yang berkualiti berlandaskan keimanan yang kukuh serta kompetensi diri yang tinggi dalam mendepani cabaran kehidupan duniawi dan ukhrawi, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Tarbiyah Muallaf) telah menganjurkan Program Menghalusi Ibadah Sembahyang 2.0 khusus bagi para Muallaf bertempat di Dewan Mau'izhah, Pusat Da'wah Islamiah.
Program ini bertujuan untuk memperhalusi, mengulang kaji dan memantapkan kefahaman para peserta terhadap tatacara sembahyang melalui bimbingan bacaan serta pergerakan yang lebih yakin dan teratur. Di samping itu, program ini turut membuka ruang kepada para Muallaf untuk mengemukakan pertanyaan serta memperbetulkan amalan melalui sesi praktikal yang dibimbing secara langsung.
Taklimat Menghalusi Ibadah Sembahyang telah disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Nurhikmah binti Haji Idris, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Pengisian program merangkumi penerangan mengenai kepentingan kesempurnaan sembahyang serta bimbingan secara teori dan praktikal berkaitan tatacara wudhu dan sembahyang.
Melalui penganjuran Program Menghalusi Ibadah Sembahyang 2.0 ini, diharapkan para Muallaf dapat memperkukuh kefahaman dan penghayatan ibadah sembahyang secara betul, yakin dan sempurna melalui bimbingan berterusan, seterusnya menanamkan sikap bertanggungjawab dalam melaksanakan sembahyang fardhu sebagai ibadah wajib, sekali gus membina jati diri Muslim yang mantap dan berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam kehidupan seharian.