Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

ROMBONGAN PUSAT DA’WAH ISLAMIAH BERTADARUS BERSAMA MUALLAF  ‘MENGERATKAN UKHUWAH TALI PERSAUDARAAN’

28 February 2026

ROMBONGAN PUSAT DA’WAH ISLAMIAH BERTADARUS BERSAMA MUALLAF ‘MENGERATKAN UKHUWAH TALI PERSAUDARAAN’

Tutong, Sabtu, 10 Ramadan 1447 bersamaan 28 Februari 2026–Di bulan Ramadan yang mubarak ini, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama terus mempergiat usaha dakwah kepada para Muallaf di Negara Brunei Darussalam, khususnya dengan mengajak serta membimbing mereka dalam melaksanakan ibadah melalui aktiviti-aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Qur'an serta menunaikan Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.

Pada petang tadi, rombongan Pusat Da'wah Islamiah yang terdiri daripada warga Bahagian Penyebaran Da'wah dan Bahagian Media mengadakan kunjungan serta meneruskan aktiviti tadarus Al-Qur'an di Rumah Kelas Bimbingan Muallaf, Kampung Batang Mitos, Daerah Tutong.

Hadir selaku Ketua Rombongan ialah Yang Mulia Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan, Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan tadarus Al-Qur'an dan disusuli dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis diteruskan dengan menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isya' berjemaah, diikuti dengan Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.

Kunjungan dan tadarus Al-Qur'an bersama para Muallaf ini bertujuan untuk menggalakkan mereka agar sama-sama mengimarahkan masjid, surau, balai ibadat, pos da'wah serta rumah kegiatan ugama di kawasan masing-masing. Selain itu, ia juga memupuk penghayatan terhadap kelebihan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Qur'an, berzikir dan mendengar tazkirah. Di samping itu, program seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga Pusat Da'wah Islamiah dan para Muallaf.​