Bandar Seri Begawan, Sabtu, 10 Ramadan 1447 bersamaan 28 Februari 2026–Majlis Bertadarus Al-Quran oleh Rombongan Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama ke masjid, surau dan balai ibadat sempena bulan Ramadan 1447 Hijrah / 2026 Masihi bertujuan untuk merebut ganjaran istimewa yang dijanjikan Allah Subhanahu Wa Ta'ala sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, di samping menggalakkan budaya membaca serta menghayati Al-Quran dalam kalangan masyarakat serta memakmurkan masjid sebagai pusat ibadah, dakwah dan ukhuwah,
Sehubungan itu, rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama jabatan-jabatan di bawahnya meneruskan Majlis Bertadarus Al-Quran dengan mengunjungi Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang. Rombongan tersebut diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Tetamu Kehormat Majlis, yang memulakan majlis dengan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah.
Diikuti dengan Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Haji Mohd Ali, Ketua Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis diteruskan dengan tadarus Al-Quran, disusuli bacaan Tahlil dan Doa Arwah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani, Imam Tingkat 3, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampung Manggis Madang, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Manakala Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Nuzli bin Haji Jumat, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis Madang, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Rombongan Bertadarus Al-Quran Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan meneruskan program berkenaan dengan mengunjungi Masjid Kampung Kupang, Daerah Tutong yang dijadualkan pada hari Isnin, 02 Mac 2026, pukul 2.30 petang.
Melalui kunjungan ke masjid-masjid di seluruh negara, penganjuran Majlis Bertadarus Al-Quran ini diharap dapat memperkukuh jalinan silaturahim antara pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama ahli jawatankuasa takmir serta penduduk setempat. Program ini juga mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memperluas syiar Islam, memperkasa fungsi masjid, surau dan balai ibadat sebagai institusi ummah serta membudayakan amalan bertadarus sebagai pengisian rohani yang berterusan dalam kehidupan beragama.







Foto: PB