Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

ROMBONGAN TADARUS AL-QURAN BAGI PEGAWAI DAN KAKITANGAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KE MASJID KAMPUNG KUPANG, DAERAH TUTONG  SEMPENA BULAN RAMADAN BAGI TAHUN 1447H/2026M

02 March 2026

ROMBONGAN TADARUS AL-QURAN BAGI PEGAWAI DAN KAKITANGAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KE MASJID KAMPUNG KUPANG, DAERAH TUTONG SEMPENA BULAN RAMADAN BAGI TAHUN 1447H/2026M

Tutong, Isnin, 12 Ramadan 1447 bersamaan 02 Mac 2026–Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan, di mana Allah Subhanahu Wa Ta'ala menjanjikan ganjaran pahala berlipat ganda bagi setiap amal kebajikan dan ibadah yang dilaksanakan oleh hamba-Nya. Justeru, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amalan mulia seperti bersedekah dan bertadarus Al-Quran di masjid-masjid sebagai pengisian rohani sepanjang bulan yang suci ini.

Selain itu, majlis ini diadakan sebagai usaha menyemarakkan syiar Islam serta menggalakkan budaya membaca dan menghayati Al-Quran dalam kalangan masyarakat.  Ianya juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi jalinan silaturahim antara rombongan dan penduduk setempat melalui pengimarahan masjid secara bersama.

Sehubungan itu, rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan pelaksanaan Majlis Bertadarus Al-Quran pada petang tadi bertempat di Masjid Kampung Kupang, Daerah Tutong.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama yang juga memimpin bacaan Surah Al-Fatihah sebagai memulakan majlis.

Majlis diisikan dengan penyampaian Tadabbur Al-Quran oleh Yang Mulia Awang Muhammad Jalaluddin bin Junaidi, Pegawai Masjid, Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Kelugos, Daerah Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Majlis diteruskan dengan tadarus Al-Quran, disusuli bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Sahran bin Haji Mohd Safar, Pegawai Masjid, Masjid Kampung Kupang, Daerah Tutong.  Manakala bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Haji Julaiadi bin Haji Baha, Pegawai Masjid, Masjid berkenaan.

Rombongan Bertadarus Al-Quran Pegawai dan Kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama seterusnya akan berada di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Daerah Temburong pada 19 Ramadan 1447 bersamaan 09 Mac 2026, pukul 2.30 petang ​