Bandar Seri Begawan, Selasa, 14 Ramadan 1447 bersamaan 03 Mac 2026-Gerhana merupakan suatu kejadian yang memperlihatkan keagungan dan kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang berlaku pada matahari dan bulan sebagai tanda atau bukti kekuasaan-Nya, sebagaimana terjadinya siang dan malam. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam menganjurkan umat Islam agar memperbanyakkan amalan kebajikan seperti menunaikan sembahyang, berdoa, berzikir, bersedekah dan beristighfar apabila berlakunya gerhana.
Perkara tersebut antara intipati Khutbah Khas yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien sempena fenomena Gerhana Bulan yang berlaku pada malam tadi. Menurut Khatib lagi, apabila berlakunya gerhana, umat Islam hendaklah menjadikannya sebagai iktibar dan pengajaran untuk meningkatkan kesedaran diri agar sentiasa mengingati kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala serta memohon ampun kepada-Nya dan bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan.
Berikutan fenomena Gerhana Bulan, masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara mengadakan Sembahyang Sunat Gerhana Bulan pada malam tadi dengan melakukan Sembahyang Sunat Gerhana sebanyak dua (2) Rakaat iaitu dua (2) Ruku' dan dua (2) qiam (berdiri) dengan tidak dipanjangkan bacaan pada keduanya.
Di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Sembahyang Sunat Gerhana Bulan berjemaah telah diimamkan oleh Yang Mulia Awang Mohamad Hasnal bin Haji Mohamad, Pegawai Masjid, Masjid Omar Ali Saifuddien. Manakala Yang Mulia Awang Zulkifli bin Haji Murat, Penguasa Masjid Omar Ali Saifuddien telah menyampaikan Khutbah Khas mengenainya.
Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama
Turut hadir Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta para pegawai kanan dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan; serta para jemaah dan penduduk yang tinggal di sekitarnya.
Foto: JHEM