Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PERJUMPAAN ANTARA JABATAN URUSAN HAJI, KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA DENGAN SYARIKAT-SYARIKAT PENGENDALI PERKHIDMATAN PAKEJ UMRAH MENGGUNAKAN VISA PELANCONG ARAB SAUDI TAHUN 2026 MASIHI

04 March 2026

PERJUMPAAN ANTARA JABATAN URUSAN HAJI, KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA DENGAN SYARIKAT-SYARIKAT PENGENDALI PERKHIDMATAN PAKEJ UMRAH MENGGUNAKAN VISA PELANCONG ARAB SAUDI TAHUN 2026 MASIHI

Berakas, Rabu, 14 Ramadan 1447 bersamaan 04 Mac 2026–Bagi memastikan peraturan dan syarat pengendalian perkhidmatan pakej Umrah sentiasa dipatuhi oleh syarikat-syarikat pengendali, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji telah meneruskan sesi perjumpaan bersama Syarikat-Syarikat Pengendali Pakej Umrah yang menggunakan Visa Pelancong Arab Saudi yang dibenarkan. Perjumpaan tersebut diadakan pada pagi tadi bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Dalam perjumpaan tersebut, Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama, menekankan kepentingan agar semua Syarikat Pengendali Pakej Umrah yang menggunakan Visa Pelancong Arab Saudi sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Antaranya, memastikan setiap jemaah Umrah dilindungi oleh pelan takaful atau insurans yang komprehensif bermula dari saat meninggalkan Negara Brunei Darussalam sehingga kembali ke negara ini, bertujuan menjamin kemaslahatan dan kebajikan jemaah, jika berlaku perkara yang di luar jangkaan.

Selain itu, semua Syarikat Pengendali Pakej Umrah juga hendaklah sentiasa bersikap telus serta memberikan penjelasan yang lengkap kepada jemaah mengenai pakej Umrah yang ditawarkan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau salah faham. Penjelasan tersebut termasuklah berkaitan jarak hotel dari kawasan masjid, penyediaan makanan, jadual penerbangan, program lawatan serta sebarang caj tambahan, sekiranya ada.

Inisiatif yang dilaksanakan ini diharapkan dapat memberikan hasil yang positif, khususnya dalam memastikan kemaslahatan dan kebajikan jemaah Umrah masa hadapan sentiasa terpelihara, seterusnya memudahkan menunaikan ibadat Umrah dengan lancar, teratur dan sempurna.

 

Foto: JUH​