Rimba, Khamis, 15 Ramadan 1447 bersamaan 05 Mac 2026–Ibadah Qiyamullail merupakan amalan sunat yang amat digalakkan dalam Islam, yang menjadi salah satu wadah untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan, mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala, memohon keampunan daripada-Nya, serta meraih ganjaran dan keberkahan berlipat ganda terutama dalam bulan suci Ramadan.
Sehubungan dengan itu, seramai 250 orang pelajar Tahun 10 dan Tahun 11 Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba menyertai Program Motivasi dan Qiyamullail yang diadakan selama dua hari bertempat di sekolah berkenaan.
Program tersebut adalah anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bimbingan dan Kaunseling sekolah berkenaan dengan kerjasama Belia Masjid Ash-Shaliheen.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Awang Haji Norhisyam bin Haji Mohd Noor, Pengetua Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, yang antara lain menekankan kepentingan pembinaan sahsiah, pengukuhan jati diri dan kecemerlangan akademik yang berteraskan nilai-nilai keagamaan.
Pengisian atur cara termasuk zikir, tazkirah, iftar serta menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isya' diikuti Sunat Tarawih dan Witir berjemaah serta bertadarus Al-Quran.
Program ini juga bertujuan mengukuhkan silaturahim dalam kalangan pelajar, memelihara kesejahteraan minda dan rohani ke arah melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi sekolah dalam membentuk insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.