Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP TADARUS AL-QURAN, TAHLIL DAN MENGENANG JASA GURU BERSARA BAGI GURU-GURU SEKOLAH UGAMA KAWASAN BRUNEI IV

05 March 2026

MAJLIS PENUTUP TADARUS AL-QURAN, TAHLIL DAN MENGENANG JASA GURU BERSARA BAGI GURU-GURU SEKOLAH UGAMA KAWASAN BRUNEI IV

Mulaut, Khamis, 15 Ramadan 1447 bersamaan 05 Mac 2026–Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei IV telah mengadakan Majlis Penutup Tadarus Al-Quran, Tahlil dan Majlis Mengenang Jasa Guru-Guru Bersara bagi Sekolah-Sekolah Ugama Kawasan Brunei IV bertempat di Dewan Serbaguna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, Kampung Mulaut.

Seramai 220 orang guru ugama menyertai majlis tersebut yang antara lain bertujuan mempertingkatkan amalan ibadat melalui bertadarus Al-Qur'an, di samping menghargai dan mengenang jasa guru-guru bersara yang telah mencurahkan bakti demi kemajuan pendidikan ugama di negara ini.  Majlis ini juga menjadi wadah untuk mengukuhkan silaturahim dalam kalangan para peserta yang hadir.

Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Johari bin Haji Jumat, Ketua Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, yang memulakan acara dengan bacaan Surah Al-Fatihah.

Diikuti dengan bacaan surah-surah lazim dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Wafiuddin bin Haji Azahari. Disusuli bacaan tahlil dan doa dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Hasrin bin Haji Salleh.  Manakala Doa Khatam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Rushdi bin Haji Serbini.

Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban, dan diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada guru-guru yang telah bersara oleh Tetamu Khas. Diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Majlis Penutup Tadarus Al-Quran, Tahlil dan Majlis Mengenang Jasa Guru-Guru Bersara bagi Sekolah-Sekolah Ugama ini merupakan salah satu inisiatif tahunan Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-Sekolah Ugama (JKPPSU) Kawasan Brunei IV. ​