Negara Brunei Darussalam, Hari Khamis, 15 Ramadan 1447 Bersamaan 05 Mac 2026–Al-Qur'an merupakan wahyu daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang tidak mengandungi sebarang keraguan dan diturunkan sebagai peringatan serta petunjuk kepada manusia agar mereka kembali kepada jalan yang benar. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, Al-Qur'an diibaratkan sebagai “nadi" yang menghidupkan kehidupan individu, masyarakat dan negara. Apabila Al-Qur'an dijadikan panduan hidup, ia mampu melahirkan masyarakat yang beriman, berakhlak mulia, berintegriti serta mempunyai kesedaran untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan menjauhi larangan-Nya.
Demikianlah antara huraian intisari dan pengajaran Ayat daripada Tadabbur Al-Quran, Surah As-Sajdah, Ayat 2 dan 3, yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da' wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Surau Musholla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah bagi menyerikan Munajat Ramadan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke- 221.
Turut serta Munajat Ramadan pada petang tadi ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), serta para pegawai kanan dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama. Juga menyertai secara maya ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, Belia dan Jemaah dari Masjid Kampung Belimbing Subok dan Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun.
Munajat Ramadan pada petang tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Yusli bin Haji Ashli, Ketua Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Belimbing Subok.
Diteruskan dengan bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Farhan @ Mohammad Ali bin Alim, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara dari Masjid Kampung Belimbing Subok. Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Saufi bin Haji Suhaini, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pegawai Pemantau Zon 1, Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun.
Sejurus selasai Tadabbur Al-Qur'an, diikuti dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Kumpulan Belia Syababul Irsyad dari Masjid Kampung Belimbing Subok. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Jamalulhair bin Muhin, Bilal Tingkat II, Masjid Kampung Belimbing Subok, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Munajat Ramadan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan ibadah di bulan Ramadan ini dan meminta keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala musibah dan penyakit merbahaya. Semoga dengan amalan ibadah yang dikerjakan di bulan Ramadan ini, kehidupan kita semua dan Negara Brunei Darussalam diberkati.