Pulaie, Khamis 08 Ramadan 1447 bersamaan 26 Februari 2026–Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi mengadakan Program Siri Tadabbur Al-Qur'an 9.0, bagi minggu pertama bertempat di Dewan Serbaguna, Pusat Da'wah Islamiah, Pulaie.
Program bertajuk Tersalah Bukan Penamat Segala-Galanya dimulakan dengan muqaddimah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Amin bin Alias. Diikuti dengan bacaan Surah Al-A'raf, Ayat 22 hingga 23 berserta terjemahan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Norhadi Yussof @ Yusreen bin Abdullah.
Acara diteruskan dengan Kuliah Tadabbur bertajuk Tersalah Bukan Penamat Segala-galanya disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Dalam penyampaiannya, beliau membawa para peserta menelusuri jejak kisah Nabi Adam 'alaihissalam dengan penekanan bahawa manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan, namun dituntut untuk segera kembali kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui taubat dan istighfar yang sebenar.
Program Siri Tadabbur Al-Qur'an 9.0 ini turut diisikan dengan sesi soal jawab bersama penceramah bagi merungkai persoalan yang dibangkitkan oleh para peserta. Acara juga dimeriahkan dengan kuiz interaktif. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang kuiz, penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan, serta sesi bergambar ramai sebelum bersurai.
Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran seramai 45 orang peserta. Rakaman penuh Program Siri Tadabbur Al-Qur'an Kali Ke-9 juga boleh ditonton melalui Instagram rasmi
Belia Da'ie iaitu @beliadaie
Pada tahun ini, Siri Tadabbur Al-Qur'an mengetengahkan tema baharu iaitu Menuju Wawasan 2035: Langkah Belia, Jejak Al-Anbiya, sebagai satu inisiatif memperkasa peranan generasi muda melalui penghayatan kisah para Al-Anbiya' dalam Al-Qur'an, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035. Tema tersebut menekankan peranan belia sebagai ejen perubahan yang bukan sahaja berorientasikan pembangunan negara, malah berpaksikan panduan wahyu dalam mendepani cabaran semasa.
Program Siri Tadabbur Al-Qur'an Kali Ke-9 dirancang khusus untuk mewujudkan suasana mesra dan inklusif dalam kalangan belia dan masyarakat awam. Ia dikendalikan pada setiap hari Khamis selama 4 minggu berturut-turut sepanjang bulan Ramadan.
Antara objektif utama program ini ialah untuk memperkukuhkan penghayatan Al-Qur'an melalui pendekatan tadabbur yang lebih mendalam, memupuk kecintaan terhadap Islam melalui perkongsian secara tematik, menjadikan kisah para nabi sebagai teladan, serta menghidupkan majlis ilmu di samping mengeratkan silaturrahim dalam kalangan ahli Belia Da'ie, alumni Akademi Da'wah, dan orang ramai.
Foto: PDI