Pulaie, Isnin, 19 Ramadan 1447 bersamaan 09 Mac 2026-Dalam menyahut saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dalam usaha menangani isu penyalahgunaan teknologi khususnya media sosial melalui pendidikan keagamaan dan dakwah yang berterusan, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Penyebaran Da'wah (Ceramah) pagi tadi mengadakan Forum Khas Sempena Ramadan Tahun 1447H/2026M bertempat di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Pulaie.
Forum ini juga bertujuan untuk menyelaraskan isi kandungan ceramah agar penyampaian para penceramah kekal konsisten, relevan dengan isu semasa serta seiring dengan perkembangan zaman.
Seramai 200 orang menyertai forum berkenaan yang terdiri daripada wakil Pejabat Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan; Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan; Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan; Kementerian Pertahanan; Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; serta Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. Turut hadir ialah pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah serta para belia di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Hadir selaku Tetamu Kehormat, Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.
Ahli-ahli panel forum tersebut ialah Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, dan Yang Mulia Dayang Huwaina binti Mamud, Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Manakala moderator forum ialah Yang Mulia Awang Abdul Mujib bin Awang Sh'minan, mahasiswa dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an berserta terjemahannya sebelum sesi pembentangan forum dimulakan.
Program turut diisikan dengan sesi kuiz yang dibukakan kepada semua peserta. Seterusnya, penyampaian cenderahati kepada ahli-ahli panel disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah. Majlis diakhiri dengan bacaan Surah Al-'Ashr dan Tasbih Kaffarah.
Forum Khas Sempena Ramadan Tahun 1447H/2026M ini diharapkan mencapai objektif dan matlamat yang dihasratkan, iaitu agar para peserta dapat memahami makna puasa secara menyeluruh yang merangkumi puasa fizikal, hati dan jiwa dalam menghadapi cabaran era digital. Selain itu, untuk meningkatkan kesedaran tentang pengaruh media sosial terhadap kualiti ibadah, keikhlasan serta penjagaan akhlak sepanjang bulan Ramadan. Ianya juga bertujuan untuk membimbing penggunaan media sosial secara beretika dan berlandaskan nilai-nilai Islam sebagai sebahagian daripada amalan puasa dan pembentukan jiwa bertaqwa.