Tanjong Bunut, Selasa, 20 Ramadan 1447 bersamaan 10 Mac 2026–Bagi meringankan beban perbelanjaan, memudahkan urusan serta menggembirakan anak-anak yatim pada bulan Ramadan ini dan menjelang Hari Raya Aidilfitri, seramai lapan (8) orang anak yatim dari Kampung Tanjong Bunut menerima sumbangan derma pada Majlis Penyampaian Derma Anak Yatim Kampung Tanjong Bunut yang diadakan lewat petang tadi bertempat di Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjong Bunut. Majlis adalah anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid tersebut.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan berkenaan ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan penyampaian derma anak yatim oleh Tetamu Kehormat. Diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Selain menghidupkan amalan bersedekah dan berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberakatan ini, majlis tersebut juga bertujuan menggalakkan masyarakat untuk terus mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah, di samping mendorong umat Islam di negara ini agar sentiasa membaca serta menghayati bacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian.