Mentiri, Sabtu, 24 Ramadan 1447 bersamaan 14 Mac 2026-Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan kerajaan, sektor swasta, keluarga serta individu di Negara Brunei Darussalam giat meningkatkan amalan dengan menganjurkan pelbagai acara keagamaan bagi meraih ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Antara aktiviti yang sering menyemarakkan bulan Ramadan ialah bertadarus Al-Quran.
Sehubungan itu, Majlis Khatam Al-Quran bagi Pegawai dan Kakitangan Lelaki Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi Tahun 1447H/2026M diadakan pada petang tadi di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama yang seterusnya memulakan Majlis dengan bacaan Surah Al-Fatihah.
Majlis diteruskan dengan penyampaian bantuan kepada Asnaf Fakir Miskin yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.
Majlis turut diserikan dengan Tadabbur Al-Quran disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani, Pegawai Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid. Diikuti bacaan Takhtim dan Tahlil dipimpin oleh pegawai dari Pejabat Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara bersama para pegawai serta Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri. Manakala bacaan Doa Khatam dan Doa Tahlil dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Samsul bin Haji Abdul Latif, Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.
Bagi menyerikan lagi majlis, Dikir Marhaban beramai-ramai dipimpin oleh pegawai dari Pejabat Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara bersama para pegawai serta ahli jawatankuasa masjid berkenaan. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Pengiran Mohammad Sallehin bin Pengiran Tejuddin, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri.
Pada majlis tersebut, sejumlah BND32,965.45 wang zakat telah diagihkan kepada 120 penerima, terdiri daripada 100 orang Asnaf Fakir Miskin dan 20 orang Asnaf Muallaf dari Daerah Brunei dan Muara.
Selain itu, sejumlah BND2,484,450.03 telah diperuntukkan oleh Majlis Ugama Islam Brunei bagi agihan zakat wang tunai kepada Asnaf Fakir Miskin dan Muallaf menjelang Hari Raya Aidilfitri Tahun 1447H/2026M. Peruntukan tersebut adalah hasil daripada kutipan Zakat Fitrah dan Zakat Harta sepanjang tahun 1447H/2025M yang berjumlah keseluruhan BND21,406,174.99.
Daripada jumlah itu, BND1,235,387.43 akan diagihkan kepada 14,481 orang Asnaf Fakir Miskin, terdiri daripada 2,597 ketua keluarga dan 11,884 orang tanggungan. Manakala BND1,249,062.60 pula akan diagihkan kepada 2,471 orang Asnaf Muallaf, terdiri daripada 2,148 ketua keluarga dan 323 orang tanggungan. Agihan wang zakat ini akan diagihkan sebahagiannya secara tunai dan sebahagiannya dikreditkan terus ke akaun bank penerima sebagai usaha meringankan perbelanjaan mereka.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abdul Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Awang Haji Sellahuddin, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei.
Di kesempatan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal menyeru seluruh umat Islam di Negara Brunei Darussalam agar menunaikan kewajipan membayar Zakat Fitrah kepada amil-amil yang dilantik sebelum berakhirnya tempoh pembayaran Zakat Fitrah.
Bagi memudahkan orang ramai untuk menunaikan kewajipan berzakat, pembayaran Zakat Fitrah juga boleh dibuat secara dalam talian (online)' melalui platform perbankan di Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), serta melalui aplikasi Syarikat telekomunikasi Datastream Digital (DST), Imagine Sdn. Bhd. dan Progresif di sepanjang bulan Ramadhan 1447H.