Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 24 Ramadan 1447 bersamaan 14 Mac 2026-Surah Ar-Rahman dimulakan dengan nama Allah yang mulia, Ar-Rahman, yang membawa maksud Yang Maha Pemurah. Ia menggambarkan bahawa segala nikmat dan peluang yang diberikan kepada manusia, termasuk peluang untuk beribadah dan bertaubat, adalah manifestasi daripada rahmat Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang tidak terhingga. Dalam konteks Ramadan pula, umat Islam diingatkan agar menyedari bahawa setiap kesempatan untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala adalah sebahagian daripada rahmat-Nya. Walaupun manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa, pintu taubat sentiasa terbuka selagi seseorang itu kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan penuh keikhlasan. Sehubungan itu, umat Islam diseru untuk terus menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan amalan seperti solat sunat, membaca Al-Qur'an, beristighfar dan berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk mencari Lailatul Qadr, tetapi juga untuk memperkukuh hubungan spiritual dengan Pencipta. Di samping itu, adalah diharapkan umat Islam dapat memanfaatkan sepenuhnya baki Ramadan dengan meningkatkan ibadah, memperbanyakkan doa serta memohon keampunan daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Demikian antara pengajaran ayat daripada Tadabbur Al-Quran, Surah Ar-Rahman Ayat 1-4, yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Musholla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah bagi menyerikan Munajat Ramadan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-222, Khas untuk Wanita Ke-33.
Munajat Ramadan Khas untuk Wanita pada petang tadi disemarakkan oleh para muslimah dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Kampung Sungai Teraban; dan Masjid Kampung Sungai Liang, Belait; serta warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang turut serta secara maya. Juga menyertai, Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, Isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama; dan Yang Mulia Datin Norazimah binti Haji Ramlee, Isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nor Fazillah binti Haji Sapar, dan disusuli dengan bacaan Surah Ar-Rahman dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nuriryani binti Haji Muhd Shah Al-Islam, kedua-duanya merupakan Tenaga Pembimbing Muslimah dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Acara diteruskan dengan bacaan Doa Munajat dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Mahani binti Haji Zaini, Tenaga Pembimbing Muslimah Masjid Kampung Sungai Teraban, Belait yang bersiaran dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Sejurus selesai Tadabbur Al-Quran, acara diteruskan dengan Selawat Badriah dipimpin oleh muslimah-muslimah dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Siti Nasriah binti Yahya, Tenaga Pembimbing Muslimah Masjid Kampung Sungai Liang, Belait bersiaran dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Munajat Ramadan Khas untuk Wanita anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan ibadah di bulan Ramadan ini dan meminta keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya. Semoga dengan amalan ibadah yang dikerjakan di bulan Ramadan ini, kehidupan kita dan Negara Brunei Darussalam diberkati.
Orang ramai dialu-alukan menyertai bersama Munajat Ramadan pada hari Sabtu bermula 1.00 petang di sepanjang bulan Ramadan ini melalui aplikasi Microsoft Teams di pautan http://tiny.cc/munajatkheuwanita.
