Sibut, Sabtu, 24 Ramadan 1447 bersamaan 14 Mac 2026-Bagi mencerminkan keprihatinan serta tanggungjawab bersama dalam membimbing dan memperkasa jati diri Muslim dalam kalangan Muallaf agar terus istiqamah menghayati ajaran Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Pusat Da'wah Islamiah pada petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Qur'an sempena bulan Ramadan yang mubarak bertempat di Balai Ibadat Kampung Sibut, Daerah Temburong.
Hadir selaku Ketua Rombongan bagi program tersebut ialah Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah. Turut menyertai rombongan berkenaan ialah ketua-ketua bahagian dan urus setia Pusat Da'wah Islamiah berserta pegawai dan kakitangan daripada Bahagian Penapisan dan Pameran, Pusat Da'wah Islamiah.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Majlis Khatam Al-Qur'an sempena bulan Ramadan, dan disusuli dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Acara diteruskan dengan berbuka puasa, diikuti dengan Sembahyang Fardhu Maghrib dan Isya' berjemaah, serta Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir berjemaah.
Program Bertadarus Al-Qur'an, Bersungkai serta Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir bersama Muallaf ini juga bertujuan untuk memperkukuh penghayatan Ramadan dalam kalangan saudara-saudara baharu melalui pengisian ibadah secara berjemaah dan bimbingan amali yang berterusan.
Program ini bukan sahaja membantu para Muallaf mendalami bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an serta menghayati amalan qiyam Ramadan dengan lebih yakin dan sempurna, malah turut menjadi wadah dalam mengeratkan ukhuwah serta memupuk rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat.