Kiarong, Rabu, 29 Ramadan 1447 bersamaan 18 Mac 2026–Majlis Tadarus yang diadakan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara kendalian Kementerian Hal Ehwal Ugama sempena bulan Ramadan tahun ini, berakhir pada malam tadi dengan Majlis Penutup Tadarus Al-Quran bertempat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Majlis Tadarus Al-Quran di Masjid, Surau dan Balai Ibadat merupakan antara usaha berterusan dalam memartabatkan syiar Islam serta memakmurkan masjid, surau dan balai ibadat di negara ini. Ia turut menghimpunkan masyarakat Islam tanpa mengira peringkat umur untuk bersama-sama memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, sekaligus mendekatkan diri kepada Al-Quran dan menyemarakkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan dengan amal ibadat, demi meraih keampunan serta ganjaran pahala berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin.
Majlis Penutup Tadarus Al-Quran pada malam tadi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Diikuti dengan Tadabbur Al-Quran disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Sejurus itu, Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Majlis diteruskan dengan bacaan Takhtim yang dibawakan oleh para Pegawai Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid serta pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Masjid. Manakala Doa Khatam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Abdul Aziz bin Haji Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, Imam Tingkat III Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.
Majlis Penutup Tadarus Al-Quran bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jabatan Pengajian Islam, Jabatan Hal Ehwal Syariah, dan Jabatan Urusan Haji dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dan Radio Televisyen Brunei.






Foto: JHEM