Rimba, Sabtu, 15 Syawal 1447 bersamaan 04 April 2026–Bagi melahirkan masyarakat yang celik Al-Quran serta membudayakan amalan membaca dan mengkhatamkan Al-Quran dalam kehidupan seharian, selaras dengan hasrat merealisasikan “Generasi Al-Quran" dan “Negara Zikir", Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah pagi tadi telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi pelajar Tahun 10 Fast Track dan Tahun 11.
Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan telah disertai oleh pelajar seramai 240 orang yang telah berjaya mengkhatamkan bacaan 30 Juzuk Al-Quran.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Noor Rasidah binti Haji Sharbini, Pemangku Penolong Pengarah (Institusi Pengajian), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis juga turut dihadiri oleh para jemputan khas daripada Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta ibu bapa dan penjaga pelajar.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta Khatam serta bacaan Takhtim Al-Quran. Seterusnya, Doa Khatam dibacakan oleh Awang Muhammad Ilham Haqiqie bin Abdullah Muhd Kelali. Acara turut diserikan dengan persembahan Dikir Marhaban oleh para pelajar Tahun 10 serta upacara merenjis minyak wangi oleh Tetamu Khas Majlis.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil Khatam Al-Quran oleh Tetamu Khas Majlis kepada para pelajar yang diraikan sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Yang Mulia Muhamad Adi Adham bin Ramlan.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memperkukuhkan penghayatan Al-Quran dalam kalangan pelajar agar dijadikan sebagai pedoman hidup. Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan penjaga dalam usaha melahirkan pelajar yang cemerlang di dunia dan akhirat.