Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-223

04 April 2026

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-223

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 16 Syawal 1447 bersamaan 04 April 2026Walaupun bulan Ramadan telah berlalu dan Syawal kini menyusuli, amalan ibadah tidak seharusnya terhenti. Sebaliknya, hendaklah terus disemai dan diperkukuh dalam hati setiap individu Muslim. Penekanan perlu diberikan kepada kepentingan menjaga dan memperbaiki hati kerana hati merupakan asas kepada baik atau buruknya keseluruhan amalan seseorang.  Al-Quran sebagai penawar bagi penyakit hati serta menjadi panduan hidup umat Islam. Justeru, umat Islam diseru untuk terus mendekatkan diri dengan Al-Quran melalui amalan membaca, memahami dan menghayatinya, walaupun berada di luar bulan Ramadan.  Dalam suasana menyambut bulan Syawal ini, umat Islam juga diingatkan agar tidak lalai dengan kemeriahan Hari Raya. Sebaliknya, hendaklah sentiasa menjaga kewajipan menunaikan solat pada waktunya di samping terus mengeratkan silaturrahim sesama keluarga, jiran, sanak saudara dan sahabat handai.

Demikian antara intipati Tazkirah bertajuk Ramadan Telah Pergi, Syawal Menyusuli, Ibadah Tetap Di Hati disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Shahmie bin Mohammad Sani, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-223 pada malam tadi.

Menyemarakkan acara Munajat kali ini ialah Ahli Al-Jiilul Faatih, di bawah Naungan Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Ahli Jawatankuasa Takmir dan para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan juga individu yang mengikuti program ini dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Iqbal bin Haji Zulkipli, Ahli Al-Jiilul Faatih, di bawah naungan Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersiaran dari Musholla Al-Amin, Pusat Da'wah Islamiah.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqi'ah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Kaseh Ikhwan Afif Jazimin bin Mohammad Rosdi, Ahli Al-Jiilul Faatih, di bawah naungan Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah.  Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Zarif 'Aqiel bin Ramlee, Pengerusi Al-Jiilul Faatih, di bawah naungan Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah. 

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Wafi Naufal bin Haji Saiful Nairul Azme, Ahli Al-Jiilul Faatih.   Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Amin Rifaie bin Mohd Suhaimi, Ahli Al-Jiilul Faatih, di bawah naungan Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.​