Bandar Seri Begawan, Isnin, 17 Syawal 1447 bersamaan 06 April 2026–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah memaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Makanan Halal Jabatan tersebut telah menerima satu aduan berhubung penjualan produk makanan Natural Chicken Stock Concentrate keluaran The Natural Stock Co. Australia di salah sebuah pasar raya di negara ini yang diragui status kehalalannya.
Susulan aduan tersebut, pemeriksaan telah dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah. Hasil pemeriksaan mendapati bahawa produk makanan Natural Chicken Stock Concentrate keluaran The Natural Stock Co. Australia mengandungi bahan yang bersumberkan daging ayam yang tidak dapat dipastikan sumber dan status kehalalannya memandangkan produk tersebut tidak ada pengiktirafan halal daripada mana-mana badan pensijilan halal yang diiktiraf.
Oleh yang demikian, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin menegaskan kepada pemilik mana-mana pasar raya, kedai runcit dan lain-lain premis perniagaan di Negara Brunei Darussalam yang menjual produk makanan Natural Chicken Stock Concentrate keluaran The Natural Stock Co. Australia supaya segera mengasingkan produk tersebut dan menempatkannya di ruangan yang tidak terdedah kepada orang awam khususnya masyarakat Islam.
Kementerian Hal Ehwal Ugama juga ingin mengingatkan kepada pemilik, pengurus, pengusaha, peniaga, pengimport, pembekal dan pengedar supaya sentiasa berwaspada serta lebih peka dalam pengurusan produk dan barangan tidak halal di semua peringkat pengendalian termasuk semasa pengimportan, penyimpanan di gudang atau tempat simpanan, pengangkutan, pengendalian dalaman serta penjualan di premis-premis perniagaan.
Langkah-langkah ini adalah penting bagi memastikan produk tidak halal diasingkan sepenuhnya daripada produk halal, sekali gus mengelakkan berlakunya pencemaran silang (cross contamination) serta kekeliruan dalam kalangan orang ramai, khususnya masyarakat Islam daripada terjebak mengambil dan menggunakan produk dan barangan gunaan yang tidak halal.
Di kesempatan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat berhubung perkara tersebut. Bagi orang ramai yang ingin menyalurkan aduan atau perkongsian maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak halal secara terbuka di premis-premis perniagaan bolehlah dibuat terus kepada Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal dengan menghubungi talian hotline +673 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

Foto: JHES