Katok, Sabtu, 29 Syawal 1447 bersamaan 18 April 2026–Walaupun Syawal kini menghampiri penghujungnya, kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Negara Brunei Darussalam masih terus dirasai apabila pelbagai pihak masih giat menganjurkan majlis ramah mesra sebagai wadah mengeratkan silaturahim, memupuk ukhuwah serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama turut mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada petang tadi bertempat di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir, pegawai-pegawai kanan, para pegawai serta kakitangan Jabatan Pengajian Islam.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Tetamu Khas Majlis. Diteruskan dengan tayangan video serta sesi ramah mesra bersama warga Jabatan Pengajian Islam. Sambutan turut diserikan dengan pelbagai persembahan istimewa di samping cabutan nama bertuah.