Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT (KHAS UNTUK WANITA KE-34) ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-225

18 April 2026

MALAM MUNAJAT (KHAS UNTUK WANITA KE-34) ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-225

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 01 Zulkaedah 1447 bersamaan 18 April 2026Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengajar kita agar sentiasa bergantung sepenuhnya kepada-Nya dengan memohon empat perkara utama: petunjuk, makanan, pakaian, dan keampunan. Ini kerana hakikat manusia sentiasa berada dalam kesesatan tanpa hidayah-Nya, dalam kelaparan tanpa kurnia rezeki-Nya, dalam kekurangan tanpa pemberian-Nya, serta tidak pernah terlepas daripada dosa. Maka hanya kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala tempat kita berharap, memohon, dan bersandar sepenuhnya.

Demikian antara intipati Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Nur Fairuza Syahirah binti Haji Marsidi, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei bagi menyerikan Malam Munajat (Khas untuk Wanita Ke-34) anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-225 pada malam tadi.

Menyemarakkan acara Munajat minggu ini ialah Ahli-Ahli Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama; serta warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama dan juga individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat (Khas untuk Wanita Ke-34) malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Nurul Aina binti Haji Lamit, Ketua Bahagian Keugamaan Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang bersiaran dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Da'wah Islamiah.

Diikuti dengan bacaan Surah Ar-Rahman beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Hajah Farizah binti Haji Kampong @ Haji Kamaluddin, Bendahari Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Noraziera binti Haji Ismail, Ketua Bahagian Aktiviti dan Kebudayaan Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Dayang Nurul Hazimah binti Hamdan, Ahli Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Noorazlina binti Haji Tamin, Yang Di-Pertua Persatuan Kebajikan Wanita Khyraa Imtiyaz, Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheuwanita