Berakas, Khamis, 05 Zulkaedah 1447 bersamaan 23 April 2026–Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi akan diadakan selama (3) tiga hari berturut-turut bermula Hari Isnin malam Selasa, Selasa malam Rabu, dan Rabu malam Khamis, 10, 11 dan 12 Zulkaedah 1447 Hijrah bersamaan 27, 28 dan 29 April 2026 Masihi bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas bermula pukul 7.15 malam. Musabaqah pada tahun ini membawa tema Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur'an dan Menghayati Ajarannya.
Bagi melancarkan dan memantapkan perjalanan majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi pagi tadi diadakan latihan penuh (rehearsal) bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Hadir sama bagi menyaksikan latihan pagi tadi ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi; Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama. Turut hadir, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian-Kementerian berkenaan serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja yang lain.
Peserta-peserta Qari yang akan bertanding di Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi ialah Yang Mulia Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili; Yang Mulia Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki; Yang Mulia Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri; Yang Mulia Awang Haji Hazwan bin Haji Salim; Yang Mulia Awang Mohammad Ayob bin Ali; dan Yang Mulia Awang Ahmad Naufal bin Haji Nor Asman.
Manakala, peserta-peserta Qariah yang akan bertanding di Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi ialah Yang Mulia Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki; Yang Mulia Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat; Yang Mulia Dayang Nur Amal Atiqah @ Aida binti Haji Sudirman; Yang Mulia Dayangku Alma Hazirah binti Pengiran Haji Jofri; Yang Mulia Dayang Nureen binti Mohd Salleh; dan Yang Mulia Dayang Nurhaneyah binti Nordin.
Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Datastream Digital Sdn Bhd (DST).
Foto: PDI