Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KETIBAAN PENERBANGAN KEDUA BAKAL JEMAAH HAJI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1447H/2026M DI MADINAH AL-MUNAWWARAH

05 May 2026

KETIBAAN PENERBANGAN KEDUA BAKAL JEMAAH HAJI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BAGI MUSIM HAJI TAHUN 1447H/2026M DI MADINAH AL-MUNAWWARAH

Madinah Al-Munawwarah, Selasa, 17 Zulkaedah 1447 bersamaan 05 Mei 2026–Penerbangan Kedua Bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447H/2026M menaiki pesawat Diraja Brunei (RB) BI4203 yang membawa seramai 254 orang telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, Madinah Al-Munawarrah pada pukul 5.07 petang waktu Madinah. 

Rombongan Penerbangan Kedua tersebut terdiri daripada tiga (3) orang Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan), 75 orang bakal Jemaah Haji daripada pakej Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB), serta 127 orang bakal Jemaah Haji daripada pakej Syarikat Dar El Ehsan Travel Sdn. Bhd. dan 49 orang bakal Jemaah Haji daripada pakej Syarikat Titian Travel and Tours Sdn. Bhd. yang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 254 orang.

Hadir bagi menyambut ketibaan rombongan bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Penerbangan Kedua ini ialah Tuan Yang Terutama Awang Haji Harun bin Haji Junid, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi di Riyadh dan isteri;  Yang Mulia Awang Haji Farhan bin Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani, Pemangku Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah dan isteri;  Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam;  Yang Mulia Dr. Haji Muhammad Nurhassanuddin bin Abdullah Kelali, Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan); para pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran dan Perubatan); serta wakil Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB); dan wakil Syarikat Dar El Ehsan Travel Sdn Bhd.

Sebanyak 7 buah bas telah disediakan bagi membawa para jemaah Negara Brunei Darussalam ke hotel penginapan masing-masing mengikut pecahan berikut iaitu seramai 79 orang jemaah daripada pakej Syarikat Dar El Ehsan Travel Sdn. Bhd. bersama 24 orang jemaah daripada pakej Syarikat Titian Travel and Tours Sdn. Bhd. ditempatkan di Safwa City Hotel.

Sementara itu, seramai 48 orang jemaah negara daripada pakej Syarikat Dar El Ehsan Travel Sdn. Bhd. dan 25 orang jemaah daripada pakej Syarikat Titian Travel and Tours Sdn. Bhd. pula ditempatkan di Dar Al Iman Al Haram Hotel.

Manakala, seramai 75 orang jemaah daripada pakej Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB) ditempatkan di Hotel Maden Al Rawda.

 

Foto: JUH​