Madinah Al-Munawwarah, Khamis, 19 Zulkaedah 1447 bersamaan 07 Mei 2026–Penerbangan Keempat dan terakhir Bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1447H/2026M menaiki pesawat Diraja Brunei (RB) BI4207 yang membawa seramai 240 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed bin Abdulaziz, Madinah Al-Munawwarah pada pukul 4.59 petang waktu Madinah.
Rombongan Penerbangan Keempat tersebut terdiri daripada tiga (3) orang Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan), 210 orang bakal Jemaah haji daripada pakej Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB), dan 27 orang bakal Jemaah Haji daripada pakej Syarikat Balurih Travel Sdn. Bhd. Menjadikan jumlah keseluruhan seramai 240 orang.
Hadir bagi menyambut ketibaan rombongan bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi Penerbangan Keempat ini ialah Tuan Yang Terutama Awang Haji Harun bin Haji Junid, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi di Riyadh dan isteri; Yang Mulia Awang Haji Farhan bin Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani, Pemangku Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Jeddah dan isteri ; Yang Mulia Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam; Yang Mulia Dr. Haji Muhammad Nurhassanuddin bin Abdullah Kelali, Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan); dan para pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran dan Perubatan); serta dari Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB), dan wakil Syarikat Balurih Travel Sdn. Bhd.
Sebanyak 6 buah bas telah disediakan bagi membawa para Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam ke hotel penginapan masing-masing mengikut pecahan iaitu seramai 27 orang jemaah daripada pakej Syarikat Balurih Travel Sdn. Bhd. ditempatkan di Sanabel Al Madinah Hotel, dan seramai 210 orang lagi jemaah daripada pakej Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd. (DSSB) ditempatkan di Hotel Maden Al Rawda.






Foto: JUH