Bandar Seri Begawan, Ahad, 22 Zulkaedah 1447 bersamaan 10 Mei 2026–Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi mengadakan Program 'Ilm Series Siri ke-24 bertempat di Dewan Serbaguna, Pusat Da'wah Islamiah.
Program tersebut terbahagi kepada dua (2) sesi, iaitu sesi pertama Dialog 'Ilmiah dan sesi kedua Bengkel Refleksi Iman: Aku dan Taat. Kedua-dua sesi ini dibukakan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Belia Da'ie serta orang ramai.
Bagi sesi pertama, Dialog 'Ilmiah yang bertajuk Kisah Nabi Ismail 'Alaihi Salaam - Saat Allah Menguji, Memilih Ketaatan atau Beralasan disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Shahmie bin Mohammad Sani, Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB). Antara intipati yang dikongsikan ialah ketaatan kepada Allah Subhanahu Wata'ala merupakan bukti keimanan yang sebenar serta cerminan kepada tahap keimanan seseorang. Selain itu, setiap ujian yang dihadapi perlu dilihat sebagai satu bentuk tarbiah daripada Allah Subhanahu Wata'ala, bukan sekadar beban semata-mata. Para peserta juga diingatkan agar mengenal pasti alasan-alasan dalam diri yang menghalang daripada melaksanakan ketaatan, seterusnya berusaha meninggalkan alasan tersebut dengan memperkukuh husnudzon dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Ketaatan Nabi Ismail 'Alaihi Salaam dijadikan contoh unggul dalam menghadapi ujian yang berat walaupun hikmahnya belum jelas terlihat.
Program diteruskan dengan sesi bengkel Refleksi Iman: Aku dan Taat yang dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi (AJKT) bersama Fasilitator Belia Da'ie. Sesi ini memberi peluang kepada para peserta untuk bermuhasabah melalui aktiviti secara individu dan berkumpulan, termasuk mengenal pasti cabaran dalam melaksanakan ketaatan serta membina komitmen terhadap perubahan diri. Melalui bengkel ini, para peserta diharapkan dapat meningkatkan pemahaman mengenai konsep ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, di samping membina hati yang lebih mudah melaksanakan perintah-Nya serta mengamalkan sikap bersangka baik dan bertawakal dalam menghadapi ujian kehidupan.
Sambutan orang ramai adalah sangat menggalakkan dengan kehadiran seramai 60 orang bagi sesi pertama yang terdiri daripada kalangan para asatizah, pegawai-pegawai kerajaan, pesara, belia termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), mahasiswa/i universiti serta orang persendirian.
Rakaman program boleh didapati di laman Instagram rasmi Belia Da'ie (@beliadaie), manakala Sesi Dialog 'Ilmiah turut disiarkan secara langsung melalui Instagram Live di akaun rasmi Belia Da'ie.





Foto: PDI