Berakas, Ahad, 22 Zulkaedah 1447 bersamaan 10 Mei 2026–Bagi memperkukuh akidah serta penghayatan syahadah dalam kalangan saudara baharu, di samping membimbing para peserta memahami asas keimanan dan mengamalkan ajaran Islam dengan penuh keyakinan serta keikhlasan dalam kehidupan seharian, Belia Muallaf As-Syahadah dengan kerjasama Urus Setia Program Keagamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, pagi tadi mengadakan Program Ikon Muallaf 2.0: Jalan Lima 'Syahadah' yang diadakan di Bilik Juri dan Community Hub, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Selain itu, program berkenaan turut memberi penekanan kepada pembinaan jati diri Muslim yang praktikal agar para peserta dapat menjadikan Islam sebagai cara hidup yang syumul serta memperkukuh identiti diri sebagai seorang Muslim. Penekanan terhadap ketahanan diri dan kemahiran sosial juga diharapkan dapat membantu peserta menghadapi cabaran dalam berinteraksi secara berhikmah dengan masyarakat, khususnya keluarga dan rakan yang bukan beragama Islam.
Antara pengisian program ialah sesi borak santai serta sesi soal jawab bersama penceramah undangan iaitu Yang Mulia Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid, Pegawai Tugas-Tugas Khas, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Program tersebut telah disertai oleh seramai 50 orang yang terdiri daripada para peserta dan ahli jawatankuasa pelaksana program.
Pelaksanaan program ini diharapkan akan mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dalam usaha melahirkan saudara baharu yang berilmu, berkeyakinan serta berdaya tahan dalam menghayati ajaran Islam secara menyeluruh.


Foto: PDI