Bandar Seri Begawan, Selasa, 24 Zulkaedah 1447 bersamaan 12 Mei 2026-Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah ingin memaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Makanan Halal Jabatan tersebut telah menerima aduan berhubung penjualan barang gunaan berus jenama Yueyou di salah sebuah pasar raya di negara ini yang disyaki diperbuat daripada bulu khinzir. Hasil analisis yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa barang gunaan berus jenama Yueyou adalah diperbuat daripada bulu khinzir.
Oleh yang demikian, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di negara ini, Jabatan Hal Ehwal Syariah telah mengarahkan pemilik perniagaan berkenaan supaya mengasingkan serta-merta penjualan berus jenama Yueyou daripada produk-produk lain dan hanya dijual di bahagian barangan tidak halal (non-halal section) serta tidak dipamerkan secara terbuka kepada orang awam.
Sehubungan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin mengingatkan para pengusaha, peniaga, pembekal dan pengimport agar sentiasa berwaspada serta lebih peka terhadap produk dan barangan gunaan import yang akan dipasarkan kepada orang ramai, bagi memastikan setiap produk yang dijual adalah suci, bersih dan tidak bercampur dengan bahan yang tidak halal. Langkah ini penting dalam memelihara maslahat masyarakat Islam di negara ini daripada menggunakan produk dan barangan gunaan yang tidak halal.
Di samping itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama turut menegaskan kepada semua pengusaha makanan di negara ini supaya tidak menggunakan sebarang peralatan, perkakas atau barang gunaan yang diperbuat daripada bahan tidak halal, termasuk berus daripada bulu khinzir, dalam proses penyediaan, pemprosesan, pengendalian atau penyajian makanan kepada orang ramai, khususnya bagi kegunaan umat Islam. Sebarang pelanggaran terhadap perkara ini boleh menjejaskan pematuhan halal dan seterusnya dikenakan tindakan undang-undang.
Di kesempatan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada orang ramai atas maklumat serta aduan yang telah disalurkan. Pada masa yang sama, orang ramai adalah disarankan untuk terus peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan produk tidak halal yang dijual secara terbuka di premis-premis perniagaan. Orang ramai boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal di talian hotline +673 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

Foto: JHES