Bandar Seri Begawan, Sabtu, 28 Zulkaedah 1447 bersamaan 16 Mei 2026-Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin memaklumkan kepada orang ramai khususnya penduduk Perumahan Negara (PN) Kampung Lumut dan kawasan sekitarnya mengenai perkembangan terkini Projek Pembinaan Masjid Baharu Perumahan Negara Kampung Lumut.
Berdasarkan kepada keterangan yang diperoleh daripada Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, projek pembinaan masjid tersebut mengalami kelewatan berikutan penamatan kontrak kontraktor asal pada bulan April 2026. Penamatan kontrak berkenaan dibuat berikutan beberapa faktor yang berkaitan dengan prestasi pelaksanaan projek yang didapati tidak memenuhi keperluan serta spesifikasi yang telah ditetapkan.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan sedang melaksanakan tindakan susulan termasuk proses pelantikan kontraktor baharu yang berkelayakan dan berkeupayaan bagi meneruskan pelaksanaan projek tersebut.
Penyiapan projek ini merupakan satu keutamaan. Oleh itu, segala usaha sedang dipergiat bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh yang disasarkan serta menepati piawaian mutu kerja yang berkualiti. Langkah ini penting bagi memenuhi harapan dan keperluan penduduk setempat serta para jemaah yang telah lama menantikan kemudahan masjid berkenaan sebagai pusat ibadah, pengembangan syiar Islam dan kegiatan keagamaan masyarakat.
Dalam kesempatan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perhatian serta keprihatinan orang ramai terhadap Projek Pembinaan Masjid Baharu Perumahan Negara Kampung Lumut ini. Adalah diharapkan maklumat yang disampaikan ini dapat memberikan penjelasan bahawa pihak-pihak yang berkenaan sentiasa komited dan berusaha untuk memastikan projek pembinaan masjid tersebut dapat diteruskan dan disiapkan dalam tempoh yang munasabah, agar ia dapat dimanfaatkan sebagaimana yang telah dirancang untuk faedah dan kemudahan penduduk, khususnya di Perumahan Negara Kampung Lumut dan kawasan sekitarnya.