Berakas, Ahad, 29 Zulkaedah 1447 bersamaan 17 Mei 2026–Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 01 Zulhijjah 1447 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam jatuh pada hari Selasa, 19 Mei 2026 Masihi.
Hasil Merukyah Anak Bulan Zulhijjah 1447H pada petang tadi diumumkan secara langsung oleh Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri. Sehubungan dengan itu, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1447 Hijrah pada hari Khamis, 10 Zulhijjah 1447 Hijrah bersamaan 28 Mei 2026 Masihi.
Permakluman tersebut adalah daripada hasil persidangan mengenai keputusan merukyah anak bulan Zulhijjah 1447 Hijrah pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Persidangan yang diadakan di Bilik As'syura, Tingkat 1, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dipengerusikan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei.
Persidangan dihadiri sama oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, Timbalan Mufti Kerajaan; serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Majlis Ugama Islam Brunei.
Pada tahun ini, lima (5) buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Zulhijjah 1447 Hijrah, iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara di Bangunan Mutiara Exchange, Lebuhraya Tungku; Taman Rekreasi Tanjung Batu, Kampung Sabun, Pekan Muara; dan Bukit Agok, Jerudong. Manakala bagi Daerah Tutong bertempat di Bangunan Hilal Bukit Ambog; dan bagi Daerah Belait ialah di Bangunan Hilal Bukit Lumut.
Sebelum Persidangan, Acara Keagmaan bagi Menunggu Hasil Merukyah Anak Bulan Zulhijjah 1447 Hijrah telah diadakan di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara Keagamaan dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an oleh Yang Muia Awang Muhammad Ishqal Ezairy @ Abdul Mateen bin Mohammad Shahruni, Pelajar Tahun 11, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Diteruskan dengan Tazkirah yang disampaikan oleh Yang Mulla Awang Muhammad Jalalluddin bin Junaidi, Imam Tingkat 2, Masjid Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, Kampung Sungai Kelugos, Daerah Tutong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Seterusnya, bacaan Tahlil dan Doa Arwah serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Haji Mohd Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar/Mokti, Pegawai Pemantau Zon 4 Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang kemudiannya mengimamkan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Manakala Azan Maghrib dikumandangkan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Aisamuddin @ Aliomar bin Alias, Imam Tingkat IV, Masjid Sufri Bolkiah Perpindahan Berakas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sehubungan dengan itu, Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha bagi Negara Brunei Darussalam akan diadakan pada hari Khamis, 10 Zulhijjah 1447 Hijrah bersamaan 28 Mei 2026 Masihi di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bermula pada pukul 7.30 pagi.









Foto: PDI