Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

BENGKEL SURAH AL-FATIHAH BAGI  AHLI JAWATANKUASA TAKMIR, MUSLIMAH DAN JEMAAH MASJID BAGI TAHUN 1447H/2026M

23 May 2026

BENGKEL SURAH AL-FATIHAH BAGI AHLI JAWATANKUASA TAKMIR, MUSLIMAH DAN JEMAAH MASJID BAGI TAHUN 1447H/2026M

Jangsak, Sabtu, 05 Zulhijjah 1447 bersamaan 23 Mei 2026–Surah Al-Fatihah merupakan surah penting yang wajib dibaca dalam setiap sembahyang. Oleh itu, bacaan yang betul dari segi tajwid, makhraj huruf dan fasahah perlu dipelajari serta diperkukuh oleh semua peringkat umur, lebih-lebih lagi generasi muda.

Sehubungan dengan itu Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jangsak dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara pagi tadi mengendalikan Bengkel Surah Al-Fatihah bagi Ahli Jawatankuasa Takmir, Muslimah dan Jemaah Masjid bagi Tahun 1447H/2026M. Bengkel tersebut diadakan di masjid berkenaan.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para peserta tentang hukum tajwid dalam bacaan Surah Al-Fatihah, di samping memantapkan sebutan makhraj huruf serta bacaan tajwid dalam sembahyang. Selain itu, program berkenaan juga bertujuan memberi pendedahan secara praktikal melalui pertandingan bacaan, sekali gus mengeratkan silaturrahim sesama peserta. Program turut diadakan bagi melahirkan contoh ikutan pembaca Surah Al-Fatihah yang baik dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir, muslimah serta jemaah masjid.

Antara pengisian bengkel tersebut termasuk penerangan mengenai pengertian dan hukum tajwid, serta penekanan terhadap kepentingan membaca Surah Al-Fatihah dalam sembahyang beserta contoh bacaannya yang betul. Para peserta turut didedahkan kepada jenis-jenis kesalahan yang lazim berlaku dalam bacaan Al-Quran, Khususnya surah Al-Fatihah. Selain itu, sesi tahsin turut dijalankan secara berkumpulan dan individu bagi memperbaiki mutu bacaan peserta.

Bengkel ini juga memberikan penerangan yang lebih mendalam mengenai hukum-hukum tajwid khusus bagi Surah Al-Fatihah. Di samping itu, para peserta diperkenalkan kepada jenis-jenis lagu bacaan secara murattal serta aspek-aspek lain yang diperlukan untuk memantapkan lagi kualiti bacaan Al-Quran.

Fasilitator bagi bengkel berkenaan ialah Yang Mulia Awang Muhd. Fahmie bin Haji Metussin, Pegawai Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Penganjuran bengkel seumpama ini diharap dapat menjadi peluang kepada para peserta untuk meningkatkan mutu bacaan Surah Al-Fatihah, seterusnya memberi impak positif terhadap kualiti ibadah khususnya dalam solat, di samping menjadi contoh ikutan kepada anak-anak kariah yang lain.​