Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP PROGRAM PERKHEMAHAN HUSNUL KHULUQI BAGI TAHUN 1447H/2026M

24 May 2026

MAJLIS PENUTUP PROGRAM PERKHEMAHAN HUSNUL KHULUQI BAGI TAHUN 1447H/2026M

Berakas, Ahad, 06 Zulhijjah 1447 bersamaan 24 Mei 2026–Dalam usaha menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar negara melahirkan generasi muda yang  berilmu, berkemahiran, dan berakhlak mulia, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan usahasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah menganjurkan Program Perkhemahan Husnul Khuluqi bagi Tahun 1447H/2026M selama empat (4) hari tiga (3) malam bermula 21 hingga 24 Mei 2026 bertempat di Perkampungan Sukan dan Padang Kawad, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Program Perkhemahan Husnul Khuluqi merupakan sebuah platform pembangunan sahsiah dan pemerkasaan pelajar yang dirangka khusus bagi membentuk peribadi Muslim yang cemerlang, berakhlak mulia serta berteraskan nilai-nilai Islam.  

Antara objektif utama program perkhemahan tersebut adalah bagi mendokong usaha ke arah pencapaian Matlamat 1 dan Matlamat 2 Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, serta memastikan Kehidupan Rakyat yang Berkualiti Tinggi; membentuk peribadi Muslim yang cemerlang melalui pendekatan tarbiyyah Islamiah; Membentuk jati diri remaja agar mengamalkan gaya hidup sihat dan menjauhi tingkah laku berisiko; memberikan pendedahan mengenai kepentingan kesihatan fizikal dan mental, kemahiran hidup, serta langkah menghindari pengaruh negatif; dan meningkatkan potensi dan keyakinan diri dalam mengembangkan kemahiran sosial, komunikasi dan kepimpinan. 

Program Perkhemahan Husnul Khuluqi Kali Kedua ini bertemakan 'Kesejahteraan Minda: Untukku dan Untukmu' dan dilaksanakan dengan memberi penekanan kepada pendekatan tarbiyyah Islamiah secara holistik melalui pelbagai aktiviti pembangunan rohani, pembinaan jati diri dan pengukuhan sahsiah dalam kalangan peserta bagi meningkatkan potensi remaja, khususnya dalam membina keyakinan diri serta memperkembangkan kemahiran sosial, komunikasi dan kepimpinan.

Sehubungan itu, bagi meraikan seramai 40 pelajar dari persekolahan Arab dan Ugama yang menyertai perkhemahan tersebut, Majlis Penutup Program Perkhemahan Husnul Khuluqi diadakan petang tadi di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Kampung Pulaie.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.

Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) Kementerian Kesihatan; Yang Mulia Dayang Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta para pegawai kanan daripada ketiga-tiga Kementerian; para ibubapa dan penjaga peserta-peserta perkhemahan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Bersama Majlis, Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam. Majlis turut diserikan dengan tayangan video, ucapan wakil peserta dan kemudiannya penyampaian sijil kepada para peserta serta penerima anugerah khas yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan sesi bergambar ramai.

Program ini adalah anjuran bersama Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan; dan Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan sokongan beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkepentingan. ​