Bandar Seri Begawan, Isnin, 07 Zulhijjah 1447 bersamaan 25 Mei 2026-Bagi meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar, sama ada secara lisan mahupun visual, di samping memperkukuhkan kefahaman dan penghayatan terhadap ayat-ayat suci Al-Quran, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah telah menganjurkan Program Lughatuna, Lughatul Quran bersempena Bulan Bahasa Arab.
Program tersebu turut memberi penekanan terhadap pemerkasaan hafazan dan bacaan Al-Quran, selain memupuk kreativiti serta kemahiran komunikasi beretika yang berlandaskan nilai-nilai Al-Quran dalam kalangan para pelajar.
Program berkenaan merupakan anjuran bersama Jabatan Bahasa Arab, Jabatan Dirasah Islamiah dan Unit Kerohanian dan Kegiatan Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta Nadi Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat yang diadakan pada pagi tadi di Dewan Kuliah, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Dr Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, Pemangku Timbalan Ra'es, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Turut hadir ialah para pengetua dan guru besar Sekolah-Sekolah Arab, serta pegawai, tenaga pengajar dan kakitangan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Awangku Abdul Ghaffar bin Pengiran Haji Redziman, siswa Tahun 3 Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat Sesi 2024–2027. Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis seterusnya diserikan dengan sesi perkongsian pembelajaran Bahasa Arab oleh siswa-siswi Diploma Tertinggi 'Aliyah Qiraat, disusuli tayangan video pengumuman pemenang bagi setiap kategori pertandingan iaitu Kategori A: Pertandingan Video Podcast, Kategori B: Pertandingan Video Drama, dan Kategori C: Pertandingan Terjemahan. Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh Tetamu Kehormat. Majlis diakhiri dengna bacaan Tasbih Kaffarah dan Surah Al - 'Asr secara beramai-ramai.
Foto: ITQSHHB