Kiarong, Rabu, 10 Zulhijjah 1447 bersamaan 27 Mei 2026–Sunat melaungkan takbir dengan suara yang Jahr (nyaring), sama ada di rumah, masjid mahupun di tempat-tempat awam pada malam Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha iaitu bermula selepas terbenam matahari sehingga imam mengangkat Takbiratul Ihram bagi Sembahyang Sunat Hari Raya. Takbir ini dinamakan sebagai Takbir Mursal dan Takbir Mutlaq iaitu takbir yang tidak terikat dengan waktu selepas sembahyang dan boleh dilaungkan pada bila-bila masa sahaja.
Sementara itu, Takbir Muqayyad ialah takbir yang terikat, iaitu takbir yang dilaungkan sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang fardhu, sunat, tunai ataupun qada. Takbir Muqayyad ini khusus bagi Hari Raya Aidiladha dan bagi mereka yang tidak mengerjakan Ibadah Haji.
Acara melaungkan takbir bagi kedua-dua Hari Raya tersebut di Negara Brunei Darussalam bukanlah suatu yang baharu. Ianya telah dipraktikkan di negara ini sejak sekian lama dan menjadi salah satu syi'ar Islam dalam usaha melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala, di samping memberi kesedaran kepada umat Islam agar sentiasa mengamalkan segala suruhan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan menjauhi segala larangan-Nya.
Sehubungan dengan itu, malam tadi diadakan Acara Takbir Beramai-ramai Sempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1447 Hijrah di semua masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Hadir bagi menyemarakkan majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Turut hadir ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama serta pengarah-pengarah, para pegawai kanan dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan penduduk sekitarnya.
Majlis ini diserikan dengan Tazkirah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Safwan bin Muhd. Suffian, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama dari Pusat Da'wah Islamiah._
Manakala laungan Takbir dipimpin oleh para pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama; Pegawai Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong; Jabatanarah Agama, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei; Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Penjara; para pelajar dan tenaga akademik Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Kumpulan Belia Masjid Senegara; serta para pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR).
Acara Takbir Beramai-ramai Sempena Hari Raya Aidiladha ini bertujuan untuk menghidupkan malam Hari Raya Aidiladha yang disambut pada 10 Zulhijjah 1447 Hijrah. Selain itu, acara tersebut juga merupakan usaha menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam melahirkan masyarakat yang bertakwa, di samping mengajak masyarakat untuk menghayati makna kandungan takbir Hari Raya.
Majlis seumpama ini juga berperanan dalam memupuk semangat hidup berjemaah, mengeratkan silaturahim serta mendekatkan masyarakat dengan masjid. Pada masa yang sama, ia juga dapat menyemai rasa cinta terhadap rumah Allah Subhanahu Wa Ta'ala sebagai institusi penting yang menjadi harapan kepada agama, bangsa dan negara.
Acara Takbir Beramai-ramai Sempena Hari Raya Aidiladha bagi Tahun 1447 Hijrah dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong.
Foto: KUPU SB