Berakas, Rabu, 09 Zulhijjah 1447 bersamaan 27 Mei 2026–Negara Brunei Darussalam setiap tahun menyambut Hari Keluarga Kebangsaan pada hari Ahad minggu pertama bulan Mei sebagai usaha mengiktiraf institusi keluarga sebagai tunjang utama dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Sambutan bagi tahun ini membawa tema “Keluargaku, Harapanku" yang menekankan kepentingan memperkukuhkan hubungan kekeluargaan, memupuk kasih sayang serta melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdaya tahan dan mempunyai kesejahteraan mental, emosi dan sosial.
Sehubungan dengan itu, bagi menyemarakkan lagi sambutan tersebut, Program Keagamaan Senegara (PKS) bagi sekolah-sekolah Arab dan ugama diadakan secara serentak di seluruh negara pada hari ini dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan sebagai salah satu inisiatif dalam memperkukuhkan penghayatan nilai kekeluargaan dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat.
Program diadakan pada sebelah petang secara bersemuka di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop dan turut dilaksanakan secara maya dengan penyertaan sekolah-sekolah Arab dan ugama di seluruh negara. Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Atur cara Program Keagamaan Senegara (PKS) dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti bacaan Doa Hari Keluarga serta sesi perkongsian ilmu bertajuk “Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan Bagi Tahun 2026" yang disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Siti Alifah binti Awang Osman, Pegawai Pembangunan Masyarakat, Bahagian Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Acara turut diserikan dengan persembahan para pemenang Pertandingan Kalam Jama'ie bagi kategori Sekolah Arab dan Sekolah Ugama serta tayangan video kreatif sebelum diteruskan dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Program Keagamaan Senegara (PKS) merupakan antara wadah dan usaha berterusan Jabatan Pengajian Islam (JPI) dalam mengongsikan ilmu, menerapkan nilai-nilai murni, membentuk sahsiah dan jati diri kebruneian serta memperkukuhkan penghayatan hidup berugama dalam kalangan pelajar sekolah-sekolah Arab dan ugama di seluruh negara.