Pulaie, Sabtu, 12 Zulhijah 1447 bersamaan 30 Mei 2026–Sebanyak tiga (3) ekor kerbau dan dua (2) ekor kambing dikurbankan pada tahun ini sempena Majlis Ibadah Kurban Sunat Kali Ke-13 anjuran Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Pembangunan Muallaf (Kebajikan Muallaf) dengan kerjasama Persatuan Nurul Islam dan Kelas Bimbingan Muallaf, Daerah Brunei dan Muara. Majlis diadakan di Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.
Daging-daging kurban tersebut telah diagihkan kepada 35 orang penerima terdiri daripada golongan fakir dan miskin dari kalangan Muallaf Daerah Brunei dan Muara, termasuk penerima Projek Fathul Barakah, ahli Persatuan Nurul Islam, peserta Kelas Bimbingan Muallaf dan mereka yang baharu memeluk ugama Islam.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.
Turut hadir, Yang Mulia Pengiran Hajah Haslina Suriani binti Pengiran Haji Piut, Pemangku Penolong Pengarah Pusat Da'wah Islamiah; Yang Mulia Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan, Pemangku Pegawai Ugama Kanan; Yang Mulia Awang Haji Hazwan bin Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Nurul Islam dan para perserta kurban.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Md Nabil Hakim bin Haji Muhammad Nabil Hafizzuddin, Ahli Persatuan Nurul Islam, Daerah Brunei dan Muara.
Diikuti dengan Tazkirah bertajuk “Fadhilat Ibadah Kurban" yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang, Pegawai Pekembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah. Antara inti pati tazkirah yang disampaikan ialah ibadah kurban bukan sahaja mendekatkan diri seseorang kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, tetapi juga mendekatkan diri dengan masyarakat. Ini kerana ugama Islam adalah ugama yang amat menitik beratkan hubungan seseorang sesama manusia di samping hubungannya dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Beliau turut menjelaskan bahawa antara fadhilat ibadah kurban sebagaimana yang disebutkan secara zahir di dalam hadits-hadits Baginda Shallallahu 'Alaihi Wasallam ialah kebajikan bagi orang yang berkurban sebanyak bulu binatang yang dikurbankan, darah binatang kurban itu penghapus dosa-dosa dan menduduki tempat yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan ibadah yang paling dicintai Allah pada Hari An Nahr (Hari Raya 'Iduladha dan hari-hari Tasyriq).
Ianya secara tidak langsung juga membersihkan harta dan jiwa dengan membelanjakan harta untuk membeli binatang kurban, menyembuhkan penyakit dengan amalan menyedekahkan daging-daging kurban dan memanjangkan umur serta menyambung silaturrahim.
Majlis diteruskan dengan penyerahan daging ibadah kurban kepada para penerima yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat. Acara diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Penganjuran majlis ini merupakan salah satu acara keagamaan tahunan jabatan dalam sama-sama menyemarakkan syiar Islam di Negara Brunei Darussalam, di samping memupuk serta menyemai kesedaran terhadap tuntutan agama serta membantu golongan yang kurang berkemampuan,
Selain memeriahkan lagi Sambutan Hari-Hari kebesaran Islam, majlis ini juga bertujuan untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan para peserta khususnya dalam perkara berkebajikan, sekaligus mengeratkan silaturrahim dalam kalangan warga Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan para Muallaf dalam kerja bergotong-royong dalam melaksanakan Ibadah Kurban.