Berakas, Sabtu, 12 Zulhijjah 1447 bersamaan 30 Mei 2026–Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) Kampung Lambak Kiri pagi tadi mengadakan Majlis Pengagihan Daging Korban dan Penyampaian Sumbangan kepada golongan Asnaf Fakir dan Miskin di Kampung Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lambak Kiri dan Kampung Lambak Kiri, Berakas. Majlis tersebut diadakan di masjid berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara.
Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Masjid, Masjid Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Lambak Kiri. Diteruskan dengan pengagihan daging korban kepada kepada 30 orang penerima yang terdiri daripada Asnaf Fakir dan Miskin dari kawasan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Kampung Lambak Kiri dan Kampung Lambak Kiri, Berakas.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada Tetamu Kehormat sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Program seumpama ini diharap akan terus menjadi wadah dalam mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat, di samping menyemai semangat tolong-menolong, keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap golongan yang memerlukan, selaras dengan tuntutan agama Islam serta nilai-nilai murni kemasyarakatan.