Bandar Seri Begawan, Rabu, 16 Zulhijjah 1447 bersamaan 03 Jun 2026–Bagi menerapkan ilmu pengetahuan serta melahirkan pelapis baharu dalam bidang pengurusan jenazah, di samping meningkatkan keyakinan masyarakat khususnya golongan muda terhadap aspek tersebut, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara serta Syababussalam, Belia Masjid Omar Ali Saifuddien, telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Jenazah bagi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Daerah Brunei dan Muara. Acara diadakan di masjid berkenaan.
Bengkel ini dihasratkan dapat menanamkan rasa tanggungjawab dalam pengurusan dan penyempurnaan jenazah, di samping menyemai kepercayaan masyarakat terhadap penglibatan golongan belia dalam pengurusan tersebut. Ia juga diharapkan mampu menimbulkan kesedaran bahawa kematian itu pasti.
Sehubungan itu, pada petang tadi telah diadakan Majlis Penutup serta Penyampaian Sijil Bengkel Pengurusan Jenazah bagi Kumpulan Belia Masjid Bagi Daerah Brunei dan Muara Tahun 1447H/2026M.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Semoga dengan adanya bengkel seumpama ini akan dapat melahirkan lebih ramai pelapis yang berkelayakan dalam penyempurnaan jenazah, khususnya daripada kalangan belia dan remaja, demi kesejahteraan masyarakat.