Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM PEJUANG FAJR KALI KE 19:  Real Glow Up: Hijrah Diri Menuju Redha Allah

12 June 2026

PROGRAM PEJUANG FAJR KALI KE 19: Real Glow Up: Hijrah Diri Menuju Redha Allah

Bandar Seri Begawan, Jumaat, 25 Zulhijah 1447 bersamaan 12 Jun 2026–Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Omar 'Ali Saifuddien telah mengadakan Program Pejuang Fajr Kali Ke-19 yang diadakan di masjid berkenaan awal pagi tadi. 

Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Alizan bin Haji Ramle, Pemangku Penguasa Dakwah dan Tabligh, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program ini diadakan sebagai salah satu usaha memperkasa peranan Belia Da'ie sebagai pertubuhan belia yang bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti da'wah dan Al-Amr Bil Ma'ruf Wa AnNahyu 'Anil Munkar di Negara Brunei Darussalam, khususnya melalui kempen Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah. Di samping itu, program ini bertujuan menanam semangat kebersamaan dan mengeratkan silaturrahim antara kalangan belia dengan masyarakat, serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga Sembahyang Subuh (Pejuang Fajr) dan mengimarahkan masjid melalui pelbagai aktiviti yang bermanfaat. 

Program Pejuang Fajr Kali Ke-19 ini dimulakan dengan Sembahyang Sunat Tahajjud yang dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da'ie, manakala Sembahyang Fardhu Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Omar 'Ali Saifuddien. Setelah itu, acara diteruskan lagi dengan bacaan Surah Al-Kahfi yang dipimpin oleh Ahli Jawatankuasa Badan Sukarelawan Belia Da'ie.

Program Pejuang Fajr kali ini diisi dengan Tazkirah Subuh bertemakan Real Glow Up: Hijrah Diri Menuju Redha Allah yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Fariszal bin Ali, Penolong Kaunselor Penjara, Jabatan Penjara.

Tazkirah tersebut menyentuh mengenai pengertian hijrah yang sebenar, iaitu perubahan diri ke arah yang lebih dari aspek iman, akhlak dan amal dalam usaha meraih keredaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Antara pengisian lain program ini ialah aktiviti berjalan kaki (walkathon) di Taman Mahkota Jubli Emas yang membawa simbolik langkah-langkah perubahan diri menuju kehidupan yang lebih positif dan bermakna.

Selain menggalakkan penghayatan nilai-nilai Islam, program ini juga bertujuan memupuk gaya hidup sihat, mengeratkan ukhuwah serta menyemarakkan semangat memulakan tahun baharu Hijrah dengan azam dan iltizam yang baharu.

Program tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran seramai lebih seratus dua puluh (120) orang peserta yang terdiri daripada Jemaah Masjid Omar 'Ali Saifuddien, para pegawai dan kakitangan kerajaan, pesara, para belia termasuk mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, Ahli Jawatankuasa Belia Da'ie dan orang ramai. Rakaman program juga boleh ditonton melalui laman Instagram rasmi Belia Da'ie iaitu @BeliaDaie.

 

Foto: PDI